Anwar menghadap Raja Kemboja, kerjasama pelbagai sektor dipertingkat
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menghadap Raja Kemboja Raja Norodom Sihamoni di Istana Diraja Kemboja.
Pertemuan itu sempena lawatan rasmi sehari Anwar bagi memperkukuh hubungan dan kerjasama dua hala yang terjalin antara Malaysia dan Kemboja sejak 1957.
“Menjunjung kasih ke atas Raja Kemboja Raja Norodom Sihamoni atas kesudian menerima menghadap di Istana Diraja Kemboja sempena lawatan rasmi saya ke Kemboja.
“Dalam sesi tersebut, saya menyampaikan hasrat kerajaan Malaysia untuk terus memperkukuhkan jalinan hubungan kedua-dua negara yang telah terjalin sejak 66 tahun lalu,” katanya menerusi hantaran di Facebook sebentar tadi.
Lawatan rasmi dan sulung Anwar ke negara itu adalah atas undangan Perdana Menteri Kemboja Hun Sen.
“Saya juga sempat mengadakan kunjungan ke atas Presiden Senat Kemboja Say Chhum dan Presiden Dewan Rakyat Kemboja Heng Samrin selain bertukar-tukar pandangan,” kata beliau.
Dalam sidang media bersama Hun Sen, beliau berkata, kerjasama dalam sektor pelaburan, industri halal, teknologi digital, pendidikan dan pertahanan dibincangkan dan menjadi antara keutamaan dibangkitkan semasa mesyuarat dua hala di Istana Keamanan di Phnom Penh.
“Perbincangan adalah sangat terperinci dan menyeluruh… menyentuh isu-isu perdagangan dan pelaburan yang menjadi keutamaan kami dalam hubungan dua hala, selain beberapa isu lain yang menjadi perhatian,” jelasnya.
Terdahulu, Anwar dan Hun Sen menyaksikan majlis menandatangani dua memorandum persefahaman (MoU) membabitkan kerajaan Malaysia dan Kemboja.
MoU tersebut berkaitan pengambilan, penggajian dan penghantaran pulang pekerja Kemboja dalam sektor domestik serta pengambilan, penggajian dan penghantaran pulang pekerja Kemboja di sektor formal bagi mengukuhkan lagi kerjasama antara kedua-dua negara dalam sektor buruh.
Â