Charles Santiago dilantik semula jadi Pengerusi SPAN

Bekas Ahli Parlimen Klang, Charles Anthony Santiago dilantik semula sebagai Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) berkuat kuasa pada 20 Mac lalu.

Perkara tersebut diumumkan SPAN menerusi satu kenyataan dikeluarkan hari ini, dan penyerahan watikah pelantikan akan dijalankan dalam waktu terdekat ini.

Untuk rekod, Santiago yang merupakan pemimpin DAP pernah dilantik sebagai pengerusi SPAN bagi tempoh dua tahun bermula 1 November 2018 hingga 31 Oktober 2020 tetapi perkhidmatannya ditamatkan lebih awal iaitu pada 10 April 2020.

“Pelantikan Encik Charles secara amnya telah melengkapkan barisan kepimpinan Anggota Suruhanjaya baharu SPAN bagi penggal 2023 hingga 2025.

“Berhubung barisan kepimpinan Anggota Suruhanjaya baharu SPAN, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad menyatakan harapan beliau agar kepimpinan baharu ini dapat membantu mencapai objektif agenda Transformasi Sektor Air (WST 2040),” maklum SPAN dalam kenyataan itu.

Dalam kenyataan sama, Nik Nazmi berkata beliau, percaya barisan baharu itu akan mampu memacu SPAN untuk terus kekal menjadi sebuah organisasi yang progresif, proaktif dan disegani dalam pengawal seliaan perkhidmatan air di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan berdasarkan pengalaman mereka dalam bidang kepakaran masing-masing.

“Mendepani cabaran yang lebih getir terhadap perkhidmatan air di masa hadapan, SPAN melalui warga kerjanya serta Anggota Suruhanjaya perlu bergerak secara sinergi dalam memastikan perkhidmatan air dapat dilestarikan melalui perancangan strategik, pengawalseliaan yang rapi serta penguatkuasaan terhadap Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655),” katanya.

Dalam pada itu, Nik Nazmi yang juga Ahli Parlimen Setiawangsa mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada barisan Anggota Suruhanjaya terdahulu, yang telah menjalankan tugas mereka dengan berdedikasi.