Hasil usaha kerajaan, harga makanan siap dimasak catat penurunan

Susulan beberapa usaha yang terus dijalankan oleh Kementerian Ekonomi, harga makanan siap dimasak di kedai atau restoran di negara ini telah mencatatkan penurunan bagi bulan Februari lalu.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata penurunan harga makanan siap dimasak buat pertama kali itu dalam sidang media Indeks Harga Pengguna (IHP) di Putrajaya hari ini.

“Ada berita baik buat (bulan) Februari kita melihat ada penurunan harga makanan siap beli di kedai.

“Memang kami (Kementerian) betul-betul tumpukan harga barangan makanan siap di kedai, kerana kenaikannya jauh lebih tinggi berbanding komponen-komponen lain,” ujarnya.

Rafizi Ramli

Walau bagaimanapun, katanya yang juga Ahli Parlimen Pandan, berlaku pula kenaikan harga sayur-sayuran pada masa ini.

“Bagi Februari berita baik harga barangan makanan siap buat kali pertama telah menunjukkan penurunan.

“Tetapi penurunan itu (harga barangan makanan) diganti pula dengan kenaikan harga sayur-sayuran disebabkan fenomena banjir terutama di Johor,” tambah Rafizi lagi.

 

BACA JUGA Formula Rafizi dapat sambutan, lebih 22,000 daftar Inisiatif Pendapatan Rakyat