Isu lawatan PM: Bezakan persaingan politik dalam negara dengan antarabangsa
Pembangkang tidak wajar menjadikan isu lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai bahan sindiran jika benar kerajaan dan keluarga raja Arab Saudi melanggar protokol diplomatik.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, Anwar wajar dipertahankan kerana ia melibatkan maruah negara.
“Anwar Ibrahim adalah Perdana Menteri bagi semua 33 juta rakyat Malaysia.
“Hatta, dia pemimpin politik lawan kita, Anwar Ibrahim tetap Perdana Menteri kita sebagai rakyat Malaysia yang bermaruah dan punya jati diri,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau.
Dalam lawatan rasmi selama tiga hari itu, Perdana Menteri tidak bertemu dengan Raja Arab Saudi Raja Salman Abdulaziz Al-Saud dan Putera Mahkotanya yang menukar jadual menjelang Ramadan.
Wisma Putra memaklumkan Perdana Menteri tidak dapat melanjutkan lawatan berikutan jadualnya yang padat melibatkan Yang di-Pertuan Agong dan kunjungan rasmi ke Kemboja.
Selain itu, Anwar yang juga Pengerusi Sekretariat Kerajaan Perpaduan turut dijadual mengadakan pertemuan rasmi dengan Presiden China, Xi Jinping dan rakan sejawatnya Li Qiang.
Sementara itu, Ahli Parlimen PKR berkenaan berkata, sebagai rakyat yang patriotik, masyarakat perlu perlu pandai membezakan persaingan politik dalam negeri dengan politik antarabangsa yang melibatkan Malaysia.
“Berbalahlah dalam isu-isu dalam negeri, kalau itu yang perlu sahaja.
“Tetapi di dalam isu politik antarabangsa kita seharusnya tidak wajar bergaduh.
“Ini soal imej negara bukan soal politik tahap rendah yang tidak kenal maruah bangsa dan negara,” katanya lagi.
Tegasnya, tindakan mereka yang mengambil kesempatan memburuk-burukkan dan memalukan pemimpin nombor satu negara itu, sewajarnya berasa malu pada diri sendiri.
“Anda yang mempersendakan Anwar, sebenarnya anda mempersendakan diri anda sendiri.
“Anda yang cuba memalukan Anwar, sebenarnya anda memalukan diri anda sendiri.
“Kita mesti kenal sempadan, dalam isu antarabangsa, kita perlu ingat peribahasa Melayu lama iaitu, ” Cubit paha kiri; paha kanan sakit juga,” katanya lagi.
BACA JUGA Lawatan PM ke Arab Saudi: Apa isunya yang dikecohkan?