Jangan berkokok di luar, Shamsul cabar pembangkang tanya di Parlimen

Pembangkang disaran untuk hadir dalam sesi Soal Jawab Perdana Menteri (PMQ) pada Selasa ini susulan lawatan Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Arab Saudi yang didakwa mereka, gagal.

Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, blok pembangkang terutama pimpinan utama Perikatan Nasional (PN) wajib hadir pada sesi itu berserta soalan yang banyak untuk mendapatkan jawapan lengkap daripada Perdana Menteri ke-10 itu.

“Pembangkang dan penyokong kecoh lawatan PM Anwar ke Arab Saudi.

“Nasihat saya jangan bising berkokok di luar, sebaliknya beranikan diri minta pimpinan anda tanya di Parlimen waktu soal jawab dengan PM, bukan seperti tikus menikus,” tulis Shamsul di Twitter, semalam.

Pembangkang mempolitikkan lawatan rasmi PM Anwar selama tiga hari ke Arab Saudi.

Bekas Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya berkenaan turut menyertakan klip videonya mempersoal beberapa pemimpin utama PN yang sering tidak hadir sesi PMQ bermula pada 10 pagi itu sehingga soalan kepada Anwar Ibrahim sering ditanya oleh Ahli Parlimen kerajaan.

“Misalnya, soal jawab dengan PM yang sebelum ini tidak ada mana-mana PM yang sanggup meluangkan masa selama 30 minit berada di Parlimen untuk menjawab apa jua isu.

“Tetapi kita lihat itu (soalan pembangkang) tidak berlaku dalam Parlimen Malaysia.

“Di mana Ketua Pembangkang ketika PM menjawab soalan pada hari Selasa? Di mana Pagoh (Mahiaddin Yassin)?

“Di mana Marang (Hadi Awang)? Di mana pimpinan PN yang kononnya lantang di luar menyerang Kerajaan Perpaduan?

“Tetapi ketika PM berada di dalam Dewan Rakyat mereka tiada di barisan hadapan. Itu bagi saya kemunafikan pada tahap tinggi,” katanya lagi.

Pada 26 Mac lalu, Ketua Pengarah J-KOM, Datuk Mohammad Agus Yusoff menafikan lawatan sulung oleh Anwar ke Arab Saudi gagal kerana tidak bertemu dengan Raja Salman Abdul Aziz dan Putera Raja Mahkota Mohammed Salman Al-Saud serta tidak dibawa masuk Kaabah.

Jelasnya, pimpinan Arab Saudi telah memohon agar lawatan Perdana Menteri selama tiga hari itu dipanjangkan selama dua hari untuk membuat pertemuan empat mata dengan pimpinan negara monarki itu.

Hal itu disebabkan, Raja Saudi dan Putera Salman telah menukar jadual mereka menjelang Ramadan.

Namun, Anwar Ibrahim terpaksa menolak atas sebab lawatannya ke Kemboja dan kunjungan hormat ke China bagi bertemu dengan Presiden China Xi Jinping dan Perdana Menteri Li Qiang.

BACA JUGA Lawatan PM ke Arab Saudi: Apa isunya yang dikecohkan?