Mahkamah Rayuan benar Ahmad Zahid dapat semula pasport secara kekal

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berjaya mendapatkan semula pasport antarabangsa dan diplomatiknya secara kekal bagi menjalankan tugas rasmi sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Keputusan sebulat suara itu dibuat oleh panel tiga hakim Mahkamah Rayuan Putrajaya hari ini yang dipengerusikan Hakim Datuk Hanipah Farikullah yang bersidang bersama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk Lim Chong Fong.

Hanipah berkata mahkamah membenarkan permohonan Ahmad Zahid bagi mendapatkan dokumen perjalanan itu selepas Mahkamah Tinggi pada 3 Februari lalu menolak permohonan pasport secara kekal.

“Setelah meneliti afidavit Ahmad Zahid selaku pemohon, mahkamah berpuas hati bahawa ia adalah bermerit maka permohonan ini dibenarkan,” katanya lapor Sinar Harian.

Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Abdul Malik Ayob tidak membantah permohonan yang dibuat oleh Ahli Parlimen Bagan Datuk itu.

Pada 13 Februari lalu, Ahmad Zahid memfailkan semakan di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonannya untuk mendapatkan pasport antarabangsa secara kekal bagi membolehkannya menjalankan tugas rasmi.

Ia susulan pada 3 Februari lalu Hakim Datuk Collin Lawrence Sequera (yang kini Hakim Mahkamah Rayuan) hanya membenarkan pelepasan sementara dokumen perjalanan itu untuk Ahmad Zahid mendapatkan pasport diplomatik.

Dokumen perjalanan itu seterusnya perlu menyerahkan semula kepada mahkamah selepas urusan permohonan diplomatik selesai.

Sementara itu, peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Ahmad Zahid berkata berikutan keputusan berkenaan, beliau hanya tertakluk kepada jaminan RM2 juta tanpa syarat tambahan lain.

Pasport milik Ahmad Zahid sebelum ini diserahkan kepada mahkamah sebagai syarat jaminan tambahan selepas beliau didakwa atas 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi yang kini di peringkat pembelaan.

Ahmad Zahid, 70, memohon pelepasan pasport dipertimbangkan dan diputuskan oleh Mahkamah Rayuan supaya dokumen perjalanan berkenaan dapat dilepaskan secara penuh dan kekal dengan apa-apa syarat sewajarnya yang dikenakan oleh mahkamah itu.

Menerusi afidavit sokongan, Ahmad Zahid berkata Sequerah terkhilaf dan salah dalam menggunakan budi bicara ketika menolak permohonannya untuk mendapatkan dokumen itu secara kekal.

Presiden UMNO berkata keputusan itu bakal memprejudiskan hak dan tanggungjawabnya sebagai individu yang berada dalam barisan kepimpinan negara kerana perlu memohon secara rasmi di mahkamah setiap kali perlu ke luar negara atas urusan kerja.

Sebagai seorang individu yang menjawat antara jawatan tertinggi dalam negara, ia dilihat tidak praktikal dan rumit untuk memohon ke mahkamah setiap kali ingin melakukan tugasan ke luar negara.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah turut menyatakan permohonan itu tidak bersifat mala fide terhadap mana-mana pihak kerana beliau mengaku janji untuk tetap memberi kerjasama penuh dalam menyelesaikan kesnya sehingga ke peringkat akhir pembelaan.

BACA JUGA: Kedudukan Zahid Hamidi semakin kukuh dalam Umno