Parlimen: Mansuh hukuman mati mandatori antara lapan RUU dibentang hari ini

Rang Undang-Undang (RUU) Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 merupakan antara lapan RUU yang akan bentang bagi bacaan kali pertama dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Selain itu, turut dibentang bagi bacaan kali pertama ialah RUU Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan)
2023.

Melalui pemansuhan hukuman mati mandatori itu menjadikan tiada lagi hukuman penjara sepanjang hayat sebagai alternatif kepada hukuman mati mandatori.

Perkara itu antara beberapa dasar baharu yang dipersetujui Kabinet pada mesyuarat Jumaat lalu dalam usaha memansuhkan hukuman mati mandatori.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dipetik sebagai berkata, ia akan diganti dengan hukuman alternatif baharu iaitu penjara bagi tempoh antara 30 hingga 40 tahun serta sebatan tidak kurang 12 kali.

“Selain itu, hukuman penjara sepanjang hayat sebagai satu hukuman dimansuh sepenuhnya dalam semua undang-undang dan hukuman mati dimansuh bagi kesalahan tidak menyebabkan kematian melainkan tiga kesalahan di bawah Seksyen 121 dan 121A Kanun Keseksaan dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Satu Rang Undang-Undang (RUU) baharu bagi membolehkan hukuman mati atau hukuman penjara sepanjang hayat yang sudah dikenakan, disemak semula oleh Mahkamah Persekutuan,” katanya dipetik daripada jawapan lisan kepada soalan Senator Koh Nai Kwong dalam sidang Dewan Negara semalam, lapor Utusan Online.

Azalina berkata RUU itu dijangka memberi kesan kepada 957 orang banduan hukuman mati dan banduan sepanjang hayat yang sudah menghabiskan proses rayuan di mahkamah sebelum ini

Sementara itu, RUU Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 dijangka memberi kesan kepada 476 orang banduan hukuman mati yang belum menghabiskan proses rayuan sama ada di Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Persekutuan, jelas Azalina.

Kertas urusan mesyuarat turut menyatakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri akan membentangkan RUU Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap KanakKanak (Pindaan) 2023 dan RUU Keterangan Saksi Kanak-Kanak (Pindaan) 2023.

Menteri Kewangan akan mendahului pembentangan RUU Perbekalan Tambahan (2022) 2023 selain Menteri Pengangkutan membawa RUU Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2023, RUU Pengangkutan Awam Darat (Pindaan) 2023 dan RUU Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (Pindaan) 2023.

Kesemua rang undang-undang tersebut akan dibawa pada semua peringkat mesyuarat sidang Dewan Rakyat kali ini.