Penambahan kos kapal LCS bergantung bagaimana kapal pertama dibina

Sebarang penambahan kos dalam pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) akan diketahui hanya selepas kapal pertama siap dibina.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari, berkata atas sebab itu, kerajaan kini sedang dalam fasa akhir untuk memuktamadkan cadangan meneruskan projek pembinaan LCS dan memastikan kapal pertama disiapkan sekurang-kurangnya pada tahun hadapan.

“Setelah ‘detail design’ (kapal LCS) ini dimuktamadkan dan boleh diteruskan, kita akan teruskan pembinaan kapal pertama dengan peruntukan sedia ada dulu.

“Sebab itu ada pun isu-isu terkait dengan penambahan kos dan seumpamanya, dia banyak bergantung bagaimana kita mahu menyiapkan kapal pertama, kapal kedua dan kapal-kapal seterusnya.

“Ini yang berlaku kepada projek LCS. Sebab itu komitmen Kementerian Pertahanan adalah untuk memastikan kapal pertama kita disiapkan tahun depan supaya dia boleh melalui proses di peringkat pelabuhan dan penilaian di lautan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi Penggulungan Perbekalan 2023 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Pertahanan di Dewan Rakyat, hari ini.

Sementara itu, Adly menambah, pendirian kementerian setakat ini adalah memastikan projek LCS diteruskan, terutama selepas status pencapaian kemajuannya 94.7 peratus, berbanding 82 peratus yang diluluskan Naval Group.

Kementeriannya akan membentangkan kertas projek yang baharu kepada jemaah menteri dalam masa terdekat.

“Kelulusan ‘detail design’ ini sudah dihentikan oleh Naval Group disebabkan isu pembayaran tergendala daripada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNSSB).

“Namun, Kementerian Pertahanan dan BNSSB sudah mendapat kerjasama dengan pihak Naval Group yang mana Naval Group selaku ‘design authority’ sudah melaksana pengauditan semula kerja reka bentuk oleh BNSSB pada hujung 2022.

“Hasil auditan itu, pihak Naval Group sudah memperakui 84 peratus berbanding 94.7 peratus sudah dilaksana oleh BNSSD.

“Baki ‘detail design’ ini yang masih belum disiapkan hanya membabitkan ‘zon tidak kritikal’ iaitu zon kapal yang membabitkan atas permukaan air,” jelasnya.

Sehubungan itu, Adly berkata tiada masalah jika projek LCS ini diteruskan berdasarkan baki peratus ‘detail design’ itu tetapi tertakluk kepada keputusan Jemaah Menteri.