Pindaan mansuh hukuman mati mandatori dibentang di Dewan Rakyat

Rang Undang-Undang (RUU) Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 serta RUU Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023 dibentang untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini.

Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi Datuk Seri Azalina Othman ketika membentangkan rang undang-undang itu berkata bacaan kali kedua akan dibuat pada mesyuarat kali ini.

RUU berkenaan membabitkan enam dasar untuk meminda Kanun Keseksaan [Akta 574], Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 [Akta 37], Akta Senjata 1960 [Akta 206], Akta Penculikan 1961 [Akta 365], Akta Dadah Berbahaya 1952[Akta 234], Akta Perdagangan Strategik 2010 [Akta 708], Kanun Tatacara Jenayah serta mewujudkan satu akta baharu.

Azalana dalam kenyataan media selepas itu berkata pindaan dan akta baharu itu melibatkan polisi penghukuman untuk 11 kesalahan yang membawa hukuman mati mandatori, jika kesalahan menyebabkan kematian, mahkamah mempunyai budi bicara menjatuhkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 hingga 40 tahun atau sebatan tidak kurang 12 kali.

“Jika kesalahan tidak menyebabkan kematian, mahkamah boleh menjatuhkan hukuman penjara tidak kurang 30 tahun yang boleh dilanjutkan kepada 40 tahun dan sebatan tidak kurang 12 kali.

“Bagaimanapun, dasar itu tidak terpakai bagi kesalahan di bawah Seksyen 121A Kanun Keseksaan di mana walau tidak menyebabkan kematian hukuman mati masih dikekalkan dan tergantung kepada budi bicara mahkamah, katanya.

Kata Azalina, terma pemenjaraan sepanjang hayat akan digugurkan daripada semua akta berkaitan.

Dasar dua pula katanya penghukuman untuk 10 kesalahan di bawah budi bicara mahkamah membabitkan Seksyen 14 Akta Senjata Api 1960, Seksyen 7 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, Seksyen 121 Kanun Keseksaan, Seksyen 307(2) Kanun Keseksaan, Seksyen 364 Kanun Keseksaan, Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 dan Seksyen 9, 10, 11 dan 12 Akta Perdagangan Strategik 2010.

Jelas beliau hukuman mati di bawah budi bicara mahkamah sedia ada dimansuhkan dan diganti dengan pemen jaraan tidak kurang 30 tahun hingga 40 tahun dan sebatan tidak kurang enam kali bagi Seksyen 14 Akta Senjata Api 1960 dan Seksyen 7 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

Selain itu kata Azalina dasar itu juga membabitkan hukuman gantian bagi Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya.

“Bagi memberi kuasa kepada Mahkamah Persekutuan menyemak semula hukuman, satu akta baharu diwujudkan melalui RUU Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat antaranya menyemak semula kes 840 banduan hukuman mati termasuk 26 banduan akhir yang telah ditolak rayuan pengampunan,” ujarnya.

Akta baharu itu nanti juga terpakai buat 117 banduan yang sedang menjalani pemenjaraan seumur hayat termasuk 70 banduan akhir yang diberi peringanan hukuman oleh lembaga pengampunan negeri, katanya.

Sementara itu, kata Azalina seramai 476 banduan akhir yang belum selesai proses rayuan akan tertakluk kepada akta baharu itu kelak.

BACA JUGA: Tambah kerusi Dewan Rakyat perlu pindaan perlembagaan – Azalina

Â