PRN Negeri Sembilan: Terus berkhidmat kepada rakyat, PH yakin kekal penguasaan
DAP Negeri Sembilan yakin Pakatan Harapan (PH) mampu mengekalkan kerajaan negeri yang sedia ada pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.
Timbalan Pengerusinya, P Gunasekaran berkata, rakyat terutama pengundi bukan Melayu wajar mempertahankan kerajaan sedia ada pada PRN nanti selepas PH terbukti cemerlang selama empat tahun.
“Berdasarkan sokongan rakyat terutamanya pengundi India dan Cina, mereka cenderung untuk memilih PH atas prestasi cemerlang kerajaan negeri sejak 2018 lagi.
“Komponen PH sentiasa memberi khidmat kepada semua masyarakat tidak kira bangsa dan agama,” katanya ketika dihubungi Harapan Daily hari ini.
Wakil rakyat DAP berkenaan mengulas demikian ketika ditanya perihal sokongan pengundi bukan Melayu dalam persediaan blok parti mendepani PRN.
Jelasnya, meskipun parti komponen PH itu sering dilabel dengan pelbagai tohmahan namun ia tidak mematahkan komitmen DAP untuk memberi khidmat yang terbaik kepada semua lapisan masyarakat.
“Khidmat dan rekod DAP sentiasa memberikan tanggungjawab yang terbaik buat semua rakyat tidak kira latar belakang bangsa dan agama.
“Ia tidak lain dan tidak bukan untuk menyelamatkan rakyat dan negara demi masa depan yang lebih baik,” ujarnya lagi.
Selain itu, ketika ditanya mengenai perkembangan kerusi DUN yang bakal ditandingi DAP, ADUN Seremban Jaya itu berkata, parti tersebut perlu terus peduli rakyat.
“Saya tidak ada komen mengenai itu (kerusi yang dipertandingkan DAP) tetapi wajar bagi DAP untuk mengekalkan momentum melalui politik khidmat kepada rakyat,” jelasnya.
Justeru, Gunasekaran berkata, beliau sentiasa memberi khidmat yang terbaik sepanjang tiga penggal menjadi ADUN dan bersedia untuk menghadapi PRN yang bila-bila masa sahaja akan diadakan.
“Ia bukan soal bersedia, sejak dari mula lagi (memenangi kerusi DUN) kita dah mula kerja dan bersedia,” katanya.
Pada 19 Februari lalu, Pengerusi DAP negeri, Anthony Loke memberi bayangan untuk mempertahankan 11 kerusi DUN yang dimenangi parti itu sejak Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).
Selain Negeri Sembilan, lima buah negeri Selangor, Pulau Pinang, Kedah Kelantan dan Terengganu sepakat untuk membubarkan DUN dalam tempoh dua minggu terakhir Jun ini.
Persetujuan itu dibuat bagi membolehkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat pelarasan sebelum menetapkan tarikh bersesuaian untuk PRN.
BACA JUGA PH Negeri Sembilan yakin mampu pertahan kesemua 20 kerusi DUN