AGC telah diarah tubuh badan bebas siasat dakwaan terhadap agensi penguatkuasaan

Jabatan Peguam Negara (AGC) sudah diarahkan untuk menubuhkan satu badan bebas sebagai mekanisme bagi menyiasat dakwaan atau tuduhan terhadap semua agensi penguatkuasaan termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau tidak pernah berganjak dari pendirian bahawa agensi penguatkuasaan tidak seharusnya menjalankan siasatan dalaman sesama mereka apabila wujud sesuatu dakwaan dan tuduhan.

“Sebelum ini bila ada dakwaan atau apa-apa tuduhan, maka badan yang ditubuh adalah badan dalaman untuk siasat dan ini dipertikai.

“Jadi sekarang saya telah minta peguam negara kaji semula cadangan awal supaya ada mekanisme untuk semua badan penguatkuasaan. Kalau ada pertuduhan khas terhadap pegawai SPRM, Imegresen, kastam atau polis maka ada badan bebas dalam bentuk sama ada suruhanjaya namun saya belum pasti.

“Tapi sudah ada arahan kepada Jabatan Peguam Negara untuk mengemukakan cadangan supaya badan-badan penguatkuasaan ini tidak menyiasat sama sendiri, tetapi ada satu badan lain yang bebas yang akan menyiasat,” katanya ketika Sesi Soal Jawab Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Gobind Singh Deo (PH-Damansara) yang bertanya sama ada satu badan bebas untuk menyiasat pegawai tertinggi seperti SPRM sekiranya ada sebarang pertuduhan atau aduan akan diwujudkan.

Sementara itu, Sim Tze Tzin (Bayan Baru-PH) pula bertanya adakah kerajaan ingin membangunkan undang-undang pendanaan politik demi membendung rasuah di peringkat pemimpin-pemimpin politik. Sim juga memberi contoh kes Tan Sri Mahiaddin Md Yasin.

Menjawab soalan itu, Anwar berkata, pada dasarnya kerajaan bersetuju tentang undang-undang pendanaan politik, namun menegaskan bahawa siasatan terhadap Mahiaddin sama sekali tidak terkait dengan pendanaan politik.

“Kalau satu parti dapat wang akibat daripada kontrak yang diberikan… maknanya saya berikan kontrak kepada syarikat A dan syarikat A derma kepada parti saya, itu termasuk dalam kategori rasuah. Jadi ia harus dibezakan kerana banyak yang keliru dalam soal ini seolah-olah parti boleh terima (dana begitu).

“Betul, dalam keadaan undang-undang sekarang, parti boleh terima. Tapi kalau saya luluskan (kontrak) beratus juta ringgit, kemudian dia derma kepada parti saya melalui akaun peribadi saya atau syarikat peribadi saya… (Bila kena dakwa), tak boleh lah nak kata tindakan perundangan itu zalim. Tak munasabahlah,” ujarnya.

BACA JUGA: Azam Baki lantikan Mahiaddin, bukti SPRM telus