Anwar: Pelaburan baru dengan komitmen tertinggi kerajaan akan diumumkan

Satu pelaburan baru dengan komitmen tertinggi kerajaan akan diumum pada hari esok atau lusa, umum Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena dengan lawatan rasmi beliau ke China yang bermula dari 29 Mac hingga 1 April.

“Ini sahaja yang boleh jamin tentang nasib rakyat, pendidikan, kesihatan rakyat,” katanya ketika berucap pada majlis ramah mesra bersama rakyat Malaysia di Kemboja di Kedutaan Besar Malaysia Phnom Penh, di Phnom Penh, semalam sempena lawatan rasmi sehari ke Cambodia.

Beliau berkata pentadbirannya mahu memastikan semua aspek berkaitan perlu terus menjadikan Malaysia sebagai tarikan pelaburan baru. Ini penting dalam agenda memastikan ekonomi negara berkembang.

Aspek – aspek itu termasuk prasarana, infrastruktur atau insentif perlu terus diperkasa selain tumpuan terhadap aspek pendigitalan.

“Bila ada perubahan, maka ia boleh menarik pelaburan asing. Sebagai contoh Amazon yang mahu melabur di Malaysia walaupun ada negara lain yang menawarkan insentif menarik kepada mereka dan bila ia datang ke sini, ia akan menarik syarikat lain untuk datang, ” katanya.

Baliau juga mahukan penambahbaikan dalam syarikat berkaitan kerajaan dan bukannya persaingan sektor tersebut dengan sektor swasta.

“Kalau ada projek baik sektor swasta atau GLC tak patut compete (bersaing). Tapi mungkin kena bandingkan juga jika ada kelemahan,” katanya ketika menjawab soalan daripada seorang tetamu mengenai pandangan terhadap GLC Malaysia yang selalu dipandang sebagai gergasi jika dibandingkan dengan perniagaan lain.

BACA JUGA: Anwar menghadap Raja Kemboja, kerjasama pelbagai sektor dipertingkat