Azam Baki lantikan Mahiaddin, bukti SPRM bebas

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki ialah lantikan pentadbiran perdana menteri terdahulu Tan Sri Mahiaddin Md Yassin kekal dalam jawatan membuktikan iltizam kerajaan untuk SPRM kekal sebagai badan bebas.

“Ikut peraturan dan perundangan sekarang, SPRM itu adalah badan yang bebas. Sebab itu bila saya ambil alih saya tak memilih menukar Ketua Pesuruhjaya SPRM walaupun dilantik oleh Pagoh.

“Untuk tidak menimbulkan persepsi bahawa seorang Perdana Menteri baru akan melantik seorang ketua SPRM yang baru, sebab itu saya kekalkan.

“Peruntukan undang-undang sekarang ini menjamin kebebasan SPRM dan tidak tertakluk di bawah arahan Perdana Menteri” katanya ketika Sesi Soal Jawab Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat pagi ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah-PN) yang bertanya samada kerajaan bersedia melaksanakan syor daripada Transparency International Malaysia (TI-M) supaya SPRM diletakkan di bawah bidang kuasa Parlimen dan bukan lagi di bawah Jabatan Perdana Menteri bagi memastikan proses semak dan imbang agensi itu lebih bebas dan telus.

Menjawab lanjut soalan dalam sesi soalan perdana menteri itu, Anwar berkata kerajaan sedia mempertimbang cadangan TI-M supaya SPRM diletakkan di bawah bidang kuasa Parlimen dan bukan lagi di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Namun beliau menegaskan, peruntukan undang-undang sekarang ini menjamin kebebasan SPRM dan tidak tertakluk di bawah arahan Perdana Menteri, apatah lagi apabila KP SPRM sendiri adalah lantikan Mahiaddin yang kini di blok pembangkang.

“Mantan-mantan PM yang lalu juga telah mengambil beberapa inisatif merunding dan menimbang, maka saya tak bermasalah untuk menimbang syor transparensi international dan lain lain.

“Saya tak fikir kita harus mengenakan perubahan semata-mata dengan syor ini. Ia juga haruslan dikemukakan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk meneliti supaya keupayaan SPRM itu akan dapat ditingkatkan dan tiada kekangan dan campur tangan yang dibimbangi akan menjejaskan usaha pelaksanaan membanteras rasuah yang saya anggap dah jadi sistemik dalam negara,” katanya

Sementara itu dalam soalan tambahan Mas Ermieyati, beliau bertanya soal kaedah pelantikan KP SPRM baru.

Menjawab hal itu, Anwar memberi berkata ianya bergantung kepada kemajuan yang dibuat oleh Parlimen.

“Pelantikan KP SPRM itu oleh Pagoh. Yang ada ini oleh Pagoh dan diperakui sebagai orang wibawa dan bebas.

“Soalnya sekarang kalau ada pelantikan baru atau penyambungan, apakah kaedah baru akan dikenakan? Dia terserah kepada kemajuan yang dibuat oleh Parlimen.

BACA JUGA: Anwar kembali dalam PMQ, jawab tiga soalan