Bazar Ramadan Rahmah saji jualan berbuka lebih murah

Bazar Ramadan Rahmah (BRR) di Lorong Jalan Tuanku Abdul Rahman (Jalan TAR), Kuala Lumpur yang menyajikan juadah berbuka puasa pada kadar harga yang lebih murah menjadikan ia sebagai medan untuk peniaga dan pengunjung saling menolong antara satu sama lain.

Dengan kos barangan meningkat, kesediaan peniaga menyahut inisiatif kerajaan dalam menyediakan Menu Rahmah memberikan kelegaan kepada orang ramai di bulan Ramadan ini.

Tinjauan Harapan Daily di BRR Lorong Jalan TAR mendapati, pengunjung tertarik dengan Menu Rahmah yang ditawarkan para peniaga di sini.

Antara makanan yang dijual dengan harga Rahmah iaitu RM5 adalah nasi goreng Cina, keropok lekor, cha kuetiau, lokching dan air tembikai susu saiz sederhana.

MUHAIMIN TAZANI

Seorang remaja, Muhamad Muhaimin Tazani, 18, memuji inisiatif kerajaan yang mewujudkan BRR dan Menu Rahmah.

“Memang murah ada makanan dan minuman berharga RM5. Semua orang dapat manfaatnya. Contohnya saya ada nampak nasi goreng Cina harga RM5.

“Kalau di kedai atau restoran lain, saya rasa susah nak dapat harga RM5 macam di sini. Harap sangat kerajaan teruskan inisiatif ini pada masa akan datang,” katanya.

Seorang lagi pengunjung, Anis Aziani, 23, pula menyifatkan Menu Rahmah itu sesuatu yang amat berbaloi kepada masyarakat.

“Dengan keadaan ekonomi sekarang ini, memang berbaloilah kerajaan buat inisiatif seperti ini. Murah dan boleh buat perut kita rasa kenyang.

“Lagi satu, McDonalds pun dah ada Menu Rahmah sekarang. Bagi saya, itu juga satu langkah yang baik sebab ramai juga yang suka makanan ringan itu,” ujarnya yang bekerja sebagai jururawat.

ANIZ AZIANI

Sementara itu, peniaga Muhammad Faiz Rostam, 32, amat bersyukur apabila Menu Rahmah di gerai miliknya mendapat sambutan pengunjung.

“Alhamdulillah, memang dapat sambutan, tambahan pula dengan kos sara hidup yang tinggi, jadi memang baguslah ada menu seperti ini,” katanya yang menerima lebih 20 pesanan nasi goreng Cina dalam sehari.

Sementara itu, seorang lagi peniaga, Danial Ikhwan, 18, menyatakan, setakat seminggu Ramadan, angka jualannya memberangsangkan.

“Jualan dalam BRR ini pun boleh tahan baiknya. Ramai orang beli air Rahmah kami iaitu tembikai susu. Air itu sahaja yang dijual pada harga Rahmah.

“Nak murah, nak sedap boleh datang ke BRR Jalan TAR,” katanya yang turut menjual pelbagai jenis air lagi.

MOHAMAD FAIZ ROSTAM

BRR Lorong Jalan TAR merupakan antara 38 lokasi BRR di seluruh negara yang boleh dikunjungi termasuk Bazar Ramadan Bayan Baru, Pulau Pinang, Bazar Ramadan People Walk Ipoh, Perak dan Bazar Ramadan Binjai Rendah, Marang, Terengganu.

Pengunjung bazar juga boleh mengunjungi gerai yang terdapat pelekat ‘Menu Rahmah’ bagi mendapatkan juadah berbuka puasa pada harga berpatutan.