Belanjawan 2023 diluluskan Dewan Rakyat dengan undi suara
Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2023 (Belanjawan 2023) diluluskan bagi peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat hari ini menerusi undi suara.
Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Alice Lau menjalankan undi suara pada jam 7.05 petang selepas perbahasan bagi kementerian terakhir iaitu Kementerian Pendidikan, diluluskan.
Selepas jelas suara “setuju” oleh ahli Parlimen, Lau mengumumkan belanjawan tersebut diluluskan.
RUU tersebut yang merupakan belanjawan pertama pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim dibahaskan bagi peringkat jawatankuasa selama 10 hari bermula 13 Mac lalu.
Anwar yang juga Menteri Kewangan membentangkan Belanjawan Malaysia Madani 2023 pada 24 Februari lalu dengan peruntukan sebanyak RM386.14 bilion.
Belanjawan itu menyediakan peruntukan pembangunan tertinggi iaitu sebanyak RM99 bilion.
Belanjawan 2023 lulus di peringkat dasar pada 9 Mac lalu.