Chelsea anjur jamuan berbuka puasa di Stamford Bridge

Stamford Bridge kepunyaan kelab bolasepak Chelsea menjadi stadium Liga Perdana Inggeris (EPL) pertama menganjurkan majlis berbuka puasa kepada penduduk tempatan yang beragama Islam.

Program yang diadakan sejak Ahad lalu telah dibanjiri ratusan peminat untuk menghadiri majlis berkenaan yang diadakan di kelab terkemuka London itu.

Paul Canoville, pemain berkulit hitam pertama yang beraksi untuk Chelsea, diberi peluang untuk berucap di majlis itu.

“Ia amat bermakna buat saya untuk melihat komuniti ini bersatu. Itulah perkara penting dalam bola sepak, menyatukan masyarakat.

“Ia satu pengalaman baharu buat saya, saya pasti mahu melakukannya sekali lagi,” kata Canoville, yang bermain 103 perlawanan untuk Chelsea dari tahun 1981 hingga 1986.

Selain itu, projek yang dianjurkan bersama Ramadan Tent Project, turut dihadiri masyarakat setempat di Fulham, penyokong dan pelajar sekolah serta kakitangan Chelsea FC.

Skuad Chelsea ketika ini turut dibarisi beberapa pemain beragama Islam antaranya Wesley Fofana, N’Golo Kante, Hakim Ziyech dan Malang Sarr.

Sementara itu, majlis berbuka puasa turut diadakan di Brighton semalam, dikuti QPR (30 Mac), Aston Villa (5 April) dan Wembley (15 April).

Pada 22 Mac lalu, pegawai perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Liga Inggeris (EFL) diarahkan untuk memberikan masa lebih lama bagi memberi peluang kepada pemain Muslim berbuka puasa.

BACA JUGA: Agong berbuka puasa dengan PM Anwar, Jemaah Menteri

Â