Keperluan benih padi sah lebih daripada mencukupi

Keperluan benih padi sah adalah dianggarkan 72,000 tan metrik setahun atau 36,000 tan metrik semusim untuk keperluan kawasan bertanam seluas kira-kira 520,000 hektar di Semenanjung Malaysia lebih daripada mencukupi.

“Daripada segi keperluan, jumlah tersebut sebenarnya adalah lebih daripada mencukupi,” kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dalam jawapan bertulis kepada Dr Ghani Ahmad (Jerlun-PN).

Beliau turut mengesahkan tiada laporan kelewatan dalam pembekalan benih padi sah.

“Bagi memastikan benih padi sah dapat dibekalkan tepat pada masa yang diperlukan, pihak pengeluar dan pemborong benih akan mengatur pengeluaran dan pembekalan berdasarkan jadual penanaman di setiap kawasan jelapang dan luar jelapang yang berbeza antara satu sama lainnya,” tambah beliau.

Beliau menambah bahawa pihak kementerian turut mengadakan perbincangan dan pemantauan berkala bersama agensi lain dalam perkara ini.

BACA JUGA: BERNAS komited kongsi 30 peratus untung import beras dengan pesawah padi