Khalid Samad menang rayuan kes fitnah, Dr Kamarul Zaman kena bayar RM10,000
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak rayuan permohonan saman fitnah yang dikemukakan oleh bekas pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Dr Kamarul Zaman Yusoff terhadap Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Abdul Samad.
Peguam bela Faiz Fadzil berkata keputusan rayuan oleh Hakim Datuk Seri Latifah Mohd Tahar menolak rayuan tersebut dan memerintahkan Kamarul membayar kos RM10,000 kepada Khalid.
“Artikel yang ditulis oleh Dr Kamarul Zaman Yusoff membangkitkan isu perkauman dan agama, maka pembelaan ulasan saksama Khalid Samad berasas.
“Rayuan ditolak dengan kos sebanyak RM10,000 dibayar kepada Khalid Samad,” katanya.
Terdahulu Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 29 April tahun lalu telah menolak tuntutan fitnah yang difailkan Kamarul Zaman dan memerintahkan beliau membayar kos sebanyak RM10,000 kepada Khalid Samad.
Saman fitnah ini difailkan oleh Kamarul Zaman pada 28 Julai 2020 berhubung penulisan Khalid yang disiarkan portal Malaysiadateline bertajuk ‘Pensyarah Melayu Bodohkan Melayu Ibarat Pegar Makan Padi’.
Tulisan Khalid pada 26 Mei 2017 itu memberikan pandangan berhubung kritikan Kamarul Zaman terhadap buku YB Hannah Yeoh ‘Becoming Hannah’ melalui rencana bertajuk ‘Hannah Yeoh Contoh Hipokrasi Terbesar DAP’.