Lawatan PM ke Arab Saudi: Usul Machang ditolak

Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal gagal mengemukakan usul berhubung lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Arab Saudi yang didakwanya sebagai ‘lawatan gagal’ selepas ia ditolak Dewan Rakyat.

Ketika sesi soal jawab menteri, Wan Ahmad Fayhsal memberitahu bahawa dia sudah menerima surat penolakan daripada pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat dan beliau cuba membangkitkan perkara sama ketika sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri pagi tadi.

“Saya nak minta petua daripada Yang Dipertua apakah saluran lain yang boleh saya bawa ke Dewan Rakyat ini untuk Kementerian Luar menjelaskan apa yang sebenarnya berlaku di Arab Saudi,” katanya di Dewan Rakyat.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Ramli Md Nor kemudian memberikan ‘petua’ seperti diminta Ahli Parlimen Machang itu bahawa mengikut peraturan ditetapkan, sekiranya Wan Ahmad Fayhsal masih tidak berpuas hati dengan keputusan dibuat, beliau boleh mengemukakan usul itu sekali lagi dalam Dewan berkenaan.

“Bagaimanapun, sila ambil maklum Yang Berhormat Machang, lihat peraturan 42, 43 dan 99(a) dan akhirnya kata putus adalah Yang Dipertua Dewan akan menentukan,” katanya.

Ramli turut menasihatkan ahli Dewan supaya mengingati peraturan ditetapkan tanpa perlu bertanyakan perkara itu kepada dirinya.

“Perkara ini sepatutnya jadi makan minum kita dalam dewan ini, tak perlu banyak, sekurang-kurangnya kena mahir peraturan 35, 36, 37, 41, 42, 43, 44, 98 dan 99(a) terutama kepada mereka yang baharu ini.

“Tapi kadang-kadang sifat manusia, benda sudah tahu dia buat tak tahu. Ini saya faham dalam politik namun mestilah ada hadnya kerana boleh dikatakan di luar sana (Dewan Rakyat) ini dikenali sebagai zoo dan itu sangat menyedihkan,” katanya.