PM lepaskan Konvoi Bakul Rahmah ke Tambun, bantu 1,500 miskin tegar

Sebanyak 1,500 kotak Bakul Rahmah dihantar ke Parlimen Tambun hari ini bagi diagihkan kepada kumpulan miskin tegar.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata inisiatif Bakul Rahmah melalui Program Payung Rahmah dilancarkan bagi mengurangkan beban kos sara hidup yang dihadapi golongan berkenaan.

“Kerajaan menyasarkan sebanyak 48,000 Bakul Rahmah disampaikan kepada rakyat miskin tegar. Justeru itu, saya berharap semua faham Bakul Rahmah tidak seperti inisiatif lain.

”Ia menyasarkan kumpulan miskin tegar sahaja. Kita telah berikan amanah itu kepada ahli Parlimen dan penjaga pusat khidmat untuk memastikan Bakul Rahmah diberikan kepada golongan tersebut.

”Setakat ini, hampir 36,000 Bakul Rahmah diedarkan di seluruh negara dan menghampir sasaran iaitu sebanyak 75 peratus,” katanya kepada pemberita di Bangunan Parlimen hari ini.

Terdahulu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Salahuddin melepaskan Konvoi Bakul Rahmah ke Tambun, Perak.

Dalam perkembangan sama, Salahuddin memaklumkan kementerian akan menggerakkan inisiatif Bakul Rahmah dengan kerjasama rakan strategik, pemain industri (pasar raya), agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Sehingga hari ini katanya, inisiatif tersebut semakin mendapat perhatian ramai terutama daripada syarikat-syarikat korporat.

“Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) amat berbesar hati untuk menerima sumbangan berbentuk makanan harian daripada semua pihak untuk diagihkan kepada golongan berpendapatan rendah dengan lebih berkesan, konsisten dan bersasar.

“Kami (kementerian) juga berharap lebih ramai pihak industri, NGO, tokoh korporat, dermawan dan orang perseorangan dapat bersama-sama menggembleng tenaga dalam usaha menoktahkan kemiskinan tegar dan seterusnya menjayakan inisiatif Bakul Rahmah ini,” ujarnya.

Inisiatif Bakul Rahmah telah diperkenalkan oleh KPDN awal tahun ini bagi membantu kumpulan miskin tegar B10 (pendapatan kurang daripada RM2,500).

Inisiatif ini juga akan dilaksanakan secara berperingkat di seluruh negara dan dijangka memberikan manfaat kepada 37,373 Ketua Isi Rumah kumpulan miskin tegar dan golongan sasar secara bulanan.

BACA JUGA: Sembilan juta bakal terima Sumbangan Tunai Rahmah fasa kedua 5 April – PM