PN tidak ada jalan mudah tembusi pengaruh PH di Negeri Sembilan

Perikatan Nasional (PN) tidak akan melalui jalan mudah untuk menembusi pengaruh Pakatan Harapan (PH) di Negeri Sembilan yang telah berjaya menguasai negeri tersebut sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Sembilan, Datuk MK Ibrahim Abd Rahman menyifatkan, ‘gelombang’ daripada pihak lawan di negeri itu tidak kuat berbanding negeri-negeri di utara tanah air.

”Saya rasa agak sukar (untuk PN tawan Negeri Sembilan). Kalau menang satu atau dua kerusi itu mungkinlah. Ini Negeri Sembilan, lain daripada negeri-negeri di utara.

”Masa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pun, kami tidak terkesan sangat. Apabila lihat kepada corak pengundian antara PH dan Barisan Nasional (BN), kebanyakannya PN berada di tempat ketiga.

”Jadi kita rasa gelombang itu belum sampai lagi. Jadi kita yakin mampu bertahan dengan kerajaan yang ada sekarang ini dan ada juga kajian menyatakan bahawa Negeri Sembilan mungkin bebas daripada PN,” katanya ketika dihubungi Harapan Daily hari ini.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai kenyataan Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bahawa mereka yakin dapat menguasai Selangor dan Negeri Sembilan selain sebahagian daripada Pulau Pinang pada PRN nanti.

Mengulas lanjut, MK Ibrahim turut optimis dengan kerjasama yang terjalin antara PH dan BN di negeri berkenaan sekali gus dilihat akan membuahkan hasil.

”Sekarang kita sudah mula adakan perbincangan (dengan parti BN) seperti persefahaman agihan kerusi dan sebagainya. InsyaAllah perkara ini akan menjadi lebih mantap ketika PRN nanti.

“Untuk PN ambil alih negeri ini, pada saya ia sukar. Jika ada pengundi UMNO yang mengundi PN pun, ia tidak cukup untuk mengubah keadaan,” ujarnya lagi.

Pada 25 Mac lalu, Sanusi dilapor berkata, PN sudah mempunyai calon Menteri Besar yang akan dijadikan ‘poster boy’ di Negeri Sembilan dan Selangor bagi menghadapi PRN tidak lama lagi.

BACA JUGA: PRN Negeri Sembilan: Terus berkhidmat kepada rakyat, PH yakin kekal penguasaan