PRN Selangor: Agihan kerusi PH-BN dijangka selesai dalam bulan puasa
Agihan kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor melibatkan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) dijangka selesai dalam beberapa minggu semasa bulan puasa.
Pengerusi Parti AMANAH Negara (AMANAH) Selangor, Ir Izham Hashim berkata hasil mesyuarat peringkat pertama antara PH dan BN minggu lalu telah bersetuju dan menetapkan bahawa masing-masing akan mengekalkan kerusi yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu.
Menurutnya, berdasarkan kepada keputusan PRU14, 50 kerusi yang sudah dimenangi oleh PH dan BN itu akan dikekalkan untuk ditandingi pada PRN akan datang dan sekali gus telah memuktamadkannya.
“Yang selebihnya enam (6) kerusi yang kalah ini akan dibincangkan untuk diagihkan mengikut kriteria-kriteria tertentu sebelum dimuktamadkan. Kita bercadang untuk selesaikan urusan pembahagian kerusi ini dalam puasa ini,” katanya kepada Harapan Daily ketika dihubungi, hari ini.
Enam kerusi DUN yang akan dimuktamadkan untuk ditandingi oleh parti komponen PH atau BN ialah Sijangkang (Pas), Selat Klang (Bersatu), Dengkil (Bersatu), Batang Kali (Pejuang), Jeram (Pejuang) dan Kuang (Bebas).
Untuk rekod, Selangor mempunyai 56 kerusi DUN dan dalam PRU14, PKR berjaya memenangi sebanyak 21 kerusi, DAP (16), AMANAH (8) manakala 5 lagi dimenangi BN.
Izham yang juga Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor berkata setakat perbincangan yang telah diadakan antara PH dan BN tidak timbulkan masalah atau isu besar antara kedua-dua gabungan berkenaan untuk bekerjasama mengekalkan pentadbiran negeri.
Dalam pada itu, beliau berharap rundingan berkenaan juga akan dapat memastikan tiada pertembungan berlaku di kerusi DUN Selangor di antara mereka.
Selain itu katanya, proses rundingan tukar suka sama suka dalam kalangan PH dan BN memerlukan persetujuan secara bersama.
“Kalau nak tukar tempat kena suka sama suka contoh kalau AMANAH ada satu kerusi hendak tukar dengan BN dan dengan syarat kedua-duanya bersetuju baru boleh ditukar,” katanya.
BACA JUGA: PH, BN Selangor sepakat kekal bertanding kerusi dimenangi PRU-14
Â