Sembilan juta bakal terima Sumbangan Tunai Rahmah fasa kedua 5 April – PM
Seramai sembilan juta penerima bakal menikmati Sumbangan Tunai Rahmah (STR) fasa kedua yang mula dikreditkan kepada akaun penerima pada 5 April ini, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata bantuan tersebut membabitkan peruntukan sejumlah RM8 bilion.
“Fasa satu STR dilaksanakan pada 17 Januari membabitkan 8.7 juta penerima melibatkan pembayaran berjumlah RM1.67 bilion.
“Fasa kedua pula akan dilaksanakan pada 5 April manakala fasa ketiga akan dilakukan pada Ogos atau selewat-lewatnya Oktober,” katanya dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan ahli Parlimen Bagan Serai Datuk Idris Ahmad mengenai sasaran kerajaan bagi setiap tiga bulan dalam proses menoktahkan kemiskinan tegar tahun ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata sebanyak 574,886 permohonan baharu STR diterima setakat hari ini.
Ketika membentang Belanjawan 2023, Anwar memaklumkan program STR dikemas kini dengan setiap isi rumah berpendapatan bawah RM2,500 layak menerima sumbangan tunai.
Kerajaan juga memberi sumbangan tambahan RM600 kepada isi rumah penerima STR termiskin mengikut data e-Kasih yang disalurkan dalam bentuk bakul makanan dan baucar barangan asas.
BACA JUGA: Anwar: Pelaburan baru dengan komitmen tertinggi kerajaan akan diumumkan