Siasatan babitkan pemimpin blok pembangkang, kerajaan

Siasatan dan pendakwaan mahkamah ketika ini membabitkan pemimpin blok pembangkang dan kerajaan. Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara ini telah disahkan oleh pihak berkuasa namun persoalan sama ada mereka akan dituduh di mahkamah bergantung kepada keputusan Jabatan Peguam Negara.

“Saya tak tahu khusus tetapi saya dimaklumkan memang ada siasatan yang melibatkan pembangkang dan juga blok kerajaan. Saya tidak tahu jawatannya dan sebagainya kerana bila saya bertanya kepada pihak penguatkuasaan, mereka cuma sahkan memang ada siasatan.

“Kemudian sama ada pendakwaan itu dibuat atau tidak, itu diserah kepada badan penguatkuasaan iaitu Jabatan Peguam Negara,” katanya dalam Sesi Soal Jawab Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau yang juga Menteri Kewangan menjawab soalan Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (Rantau Panjang-PN) yang bertanya sama ada terdapat pendakwaan terhadap ahli parlimen blok kerajaan

Siti Zailah juga bertanya adakah siasatan dana parti politik sebelah kerajaan turut dilakukan supaya tidak wujud pertikaian adanya pendakwaan terpilih.

Anwar menjawab, beliau terbuka jika pihak pembangkang mahu menyiasat partinya berhubung isu pendanaan politik.

“Tentang siasatan dana politik, saya terbuka tidak ada masalah. Tetapi kena faham, undang-undang sekarang ini membolehkan derma kepada parti politik. Yang dikaitkan dengan pendakwaan sebelum ini (terhadap Pagoh) ialah pendakwaan yang terkait dengan kontrak yang diberikan.

“Jadi kalau ada permasalahan atau kekhuatiran bahawa ada unsur rasuah dalam derma kepada parti Keadilan, itu boleh dibangkitkan. Saya tiada masalah bab itu. Cuma soalnya, kena faham undang-undang,” ujarnya.

BACA JUGA: Azam Baki lantikan Mahiaddin, bukti SPRM telus