Khazanah Nasional, Felcra tingkatkan keterjaminan makanan

Setakat ini, sebanyak dua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) turut sama dalam usaha meningkatkan keterjaminan makanan.

Menurut Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim, GLC yang jelas mempunyai kewangan yang mencukupi boleh mencari tanah-tanah strategik yang kosong dan terbiar, seterusnya menjalankan pertanian moden sebagai salah satu langkah menjamin sekuriti makanan dalam negara.

GLC berkenaan ialah Khazanah Nasional dan Felcra Bhd.

“Sejak 2007, Khazanah telah melabur dalam pelbagai subsektor termasuk sayur-sayuran dan tenusu, bagi memperkukuhkan industri tersebut, di mana impak positif dicapai dari segi peningkatan pendapatan, kemajuan teknologi, standard kualiti dan memperkasa keterjaminan makanan, di samping peningkatan pengeluaran bahan makanan tertentu.

“Sebagai contoh, FarmFresh, sebuah syarikat pelaburan Khazanah, menyumbang kepada kira-kira 40% keperluan tenusu di Malaysia.”

“Inisiatif Dana Impak (oleh Khazanah) tertumpu ke arah pelaburan dalam projek yang boleh memberikan pulangan komersial dan kepada masyarakat. Institut Penyelidikan Khazanah akan terus menyokong kerajaan dalam penyelidikan dasar ke arah memastikan keterjaminan makanan untuk Malaysia.

“Selain itu, FELCRA Berhad pula akan menyediakan Transformasi 3.0 pelan bagi mencapai tahap keterjaminan makanan khususnya membabitkan pengeluaran ayam, daging dan telur secara domestik dengan mengurangkan kebergantungan kepada import dalam tempoh empat tahun lagi.”

Beliau berkata demikian dalam jawapan kepada soalan daripada Hasni Mohammad (Simpang Renggam-BN).

BACA JUGA:  Keterjaminan makanan bidang baharu untuk diteroka bersama Singapura