AMK yakin PH mampu pikat pengundi PRN Negeri Sembilan

Pelbagai insiatif yang disediakan kerajaan Negeri Sembilan pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun dilihat berpotensi menawan hati pengundi di negeri tersebut menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) negeri, Mohd Umry Abdul Khois menyifatkan pihaknya optimis Pakatan Harapan (PH) dengan kerjasama Barisan Nasional (BN), akan mengekalkan tampuk pemerintahan di negeri Adat Perpatih itu.

“PH dengan kerjasama BN akan terus mengekalkan pemerintahan memandangkan pelbagai inisiatif sudah dilaksanakan kerajaan negeri.

“Malah, hampir 99 manifesto di bawah pentadbiran PH, dijalankan dengan jayanya,” katanya ketika dihubungi Harapan Daily.

Sehubungan itu, beliau yakin bahawa rakyat Negeri Sembilan dapat menilai corak pentadbiran PH dengan pelbagai inisiatif yang menumpukan kepada semua lapisan masyarakat.

“Seperkara lagi, rizab kerajaan negeri juga meningkat hampir RM1 bilion dan angka itu merupakan yang tertinggi sejak PH mengambil alih pentadbiran di negeri ini,” jelasnya.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas keyakinan Perikatan Nasional (PN) menguasai Negeri Sembilan dan Selangor selain sebahagian daripada Pulau Pinang pada PRN.

Bagaimanapun, Timbalan AMK Cabang Jelebu itu menyifatkan keyakinan PN itu hanya boleh diterjemahkan menerusi keputusan undian rakyat dalam PRN itu nanti.

Mohd Umry menambah, pada 2022, kerajaan negeri juga telah berjaya mencapai sasaran menerusi kutipan hasil negeri, malah Belanjawan 2023 Negeri Sembilan turut menyaksikan terdapat lebihan atau surplus.

Berdasarkan rekod prestasi memberangsangkan kerajaan negeri, pihaknya yakin tampuk pemerintahan PH akan dapat dikekalkan selepas berlangsungnya PRN di negeri berkenaan tidak lama lagi.

Terdahulu, Aminuddin dilapor berkata, Negeri Sembilan akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 1 Jun depan, sekali gus memberi laluan kepada penganjuran PRN.

Selain Negeri Sembilan, lima negeri bakal terlibat dalam PRN iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang berikutan masing-masing tidak membubarkan DUN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lalu.

Untuk rekod, PH di Negeri Sembilan menguasai 20 daripada 36 kerusi DUN, manakala BN mempunyai 16 kerusi yang diperoleh pada PRU14.

Sementara itu, pada PRU15 tahun lalu, BN memenangi lima kerusi Parlimen di negeri itu, dan tiga kerusi dimiliki PH iaitu Seremban, Rasah dan Port Dickson, manakala tiada kerusi berjaya dimenangi PN.

BACA JUGA PRN Negeri Sembilan: Terus berkhidmat kepada rakyat, PH yakin kekal penguasaan