Ayob Khan jadi Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah yang baharu

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay diumum sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman yang baharu.

Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Polis Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin dalam kenyataan malam tadi.

Pertukaran pegawai kanan PDRM berkenaan berkuat kuasa 16 April ini menggantikan Datuk Seri Abd Jalil Hassan yang akan bersara wajib dalam tempoh terdekat.

Ayob Khan, 57, yang merupakan anak jati Pendang, Kedah dilantik sebagai Pengarah JSJN pada 25 Disember 2021.

Sebelum itu, beliau menjadi Ketua Polis Johor selama selama 22 bulan mulai 6 Mac 2020.

Beliau juga pernah memegang jawatan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Pengganas, Cawangan Khas, Bukit Aman.

BACA JUGA Laporan polis palsu terhadap saya dan PM kesalahan jenayah