Isu kontrak diraih Datasonic: Guan Eng minta KDN beri penjelasan

Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini diminta menyatakan kedudukan tentang penganugerahan kontrak kepada Datasonic Technologies Sdn Bhd (DTSB).

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman web rasmi Parlimen, Lim Guan Eng (PH-Bagan) dijadual bertanyakan perkara dalam sesi soal jawab.

Beliau yang juga Pengerusi DAP meminta Menteri Dalam Negeri memberitahu jumlah pembabitan ahli keluarga pemimpin utama kerajaan yang lalu dalam syarikat tersebut.

“Adakah kontrak ini diteruskan atau pun akan ditender semula?” dipetik Aturan Urusan Mesyuarat itu.

Untuk rekod, DTSB merupakan anak syarikat milik penuh Datasonic Group Bhd.

Datasonic dalam makluman kepada Bursa Malaysia pada November 2022 berkata, pihaknya telah menerima kontrak daripada KDN berjumlah RM140 juta.

Kontrak untuk tempoh 36 bulan bermula 1 November 2022 hingga 31 Oktober 2025 itu bagi membekalkan kad pekerja asing (I-Kad) kepada Jabatan Imigresen.

Datasonic juga perlu melaksanakan latihan dan pendidikan profesional untuk usahawan yang sedang berkembang (PROTEGE) di bawah program kerajaan mengikut nilai kontrak dengan sekurang-kurangnya 58 peserta tanpa kos kepada kerajaan.

Pada Jun 2021, Datasonic dilapor telah memperoleh kontrak KDN bernilai RM39.75 juta untuk perkhidmatan penyelenggaraan pusat pemperibadian kad di Jabatan Pendaftaran Negara.

DTSB menerima surat tawaran (LOA) daripada KDN untuk menyediakan perkhidmatan itu selama 24 bulan dari 1 Jun 2021 hingga 31 Mei 2023.

Di bawah syarat LOA itu, DTSB mesti melaksanakan program PROTEGE dengan sekurang-kurangnya 15 peserta.

Di bawah kontrak itu juga, Datasonic dikehendaki mengemukakan bon pelaksanaan berjumlah RM993,750 kepada KDN, mulai 1 Jun 2021 hingga 31 Mei 2024.

BACA JUGA Malaysia negara neutral karbon menjelang 2050?