Kerajaan teliti cadangan Majlis Raja-Raja berkaitan pengaruh eksekutif dalam kehakiman

Kerajaan akan meneliti cadangan Majlis Raja-Raja berkenaan pelantikan hakim tanpa pengaruh eksekutif. Walau bagaimanapun cadangan tersebut perlu mengambil kira peruntukan perlembagaan, kata Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi Azalina Othman Said.

“Kerajaan akan meneliti cadangan tersebut dengan mengambil kira peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan berhubung perkara-perkara berkaitan
pelantikan Hakim-Hakim Mahkamah Atasan,” kata Azalina dalam jawapan bertulis kepada Wee Ka Siong (Ayer Hitam-BN).

Beliau menambah bahawa Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman turut mengambil perhatian berkenaan perkara tersebut.

Majlis Raja-Raja Melayu mahu pindaan dibuat terhadap Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 agar tiada pengaruh badan eksekutif terutamanya Perdana Menteri di dalam pelantikan hakim.

BACA JUGA: Sultan Selangor pengerusikan hari kedua Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-261