Lagi MP Pas digantung tiga hari dari Dewan Rakyat

Seorang Ahli Parlimen Pas Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) diarah keluar dari Dewan Rakyat dan digantung selama tiga hari dari menghadiri sidang selepas mengingkari arahan Timbalan Speaker Datuk Ramli Mohd Noor.

Terdahulu Ramli memberikan amaran agar Che Mohamad duduk sebanyak tiga kali.

Peristiwa ini berlaku ketika Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) mempersoalkan mengapa kerajaan menyediakan dua rang undang-undang yang mempunyai tajuk Bahasa Inggeris.

Tidak puas hati dengan penggantungan itu, Che Mohamad, bertanya mengapa keputusan dibuat selepas beliau sudah pun duduk.

“Saya dah duduk dah, kenapa keputusan selepas (duduk)?”

“Saya telah buat keputusan dan saya telah beri amaran tiga kali. Bentara, jalankan tugas,” kata Ramli.

Che Mohamad kemudian meminta penjelasan berhubung tempoh penggantungannya.

“Tiga hari maknanya bermula esok? Sabtu masuk?”

Ramli menjelaskan penggantungannya bermula hari ini hingga Isnin.

Sebelum itu Takiyuddin mempersoalkan mengapa dua dari empat rang undang-undang dibentangkan dalam bahasa Inggeris manakala dua lagi dwibahasa.

“Dalam mahkamah dan undang-undang ada dwibahasa, dan amalan kita di dalam Dewan Rakyat perlu berbahasa Melayu. Sekarang ini saya sebagai pembangkang bertanya kenapa walaupun kita tahu teksnya dalam bahasa Inggeris, kenapa dua RUU dibentang dalam bahasa Inggeris sahaja?,” tanya Takiyuddin.

Timbalan Menteri Undang-undang, Ramkarpal Singh pula membalas dengan merujuk menjelaskan bahawa salah seorang Ahli Parlimen Perikatan Nasional ketika memegang jawatan Timbalan Menteri Undang-undang pun pernah membentangkan RUU dalam bahasa Inggeris.

Namun Takiyuddin yang pernah menjawat jawatan Menteri Undang – Undang menyatakan bahawa Pakatan Harapan ketika itu tidak membantah pembentangan RUU dalam bahasa Inggeris.

Che Mohamad ialah ahli parlimen Pas kedua yang digantung dari Dewan Rakyat. Pada 8 Mac, Awang Solahuddin Hashim (PN-Pendang) digantung kehadiran selama dua hari.

BACA JUGA: Dewan kecoh, Khoo bangkitkan skandal membabitkan menantu Mahiaddin