LZS agih bantuan sambut Ramadan, Hari Raya lebih RM30 juta

Lembaga Zakat Selangor (LZS) mula mengagihkan bantuan zakat RM30.1 juta kepada 64,819 keluarga asnaf fakir, miskin dan mualaf bagi persiapan awal menyambut Ramadan dan Syawal tahun ini.

LZS mula mengagihkan bantuan zakat RM30.1 juta kepada 64,819 keluarga asnaf fakir, miskin dan mualaf bagi persiapan awal menyambut Ramadan dan Syawal.

Dalam agihan yang bermula 21 Mac lalu, sebanyak RM9 juta diberi kepada 18,550 penerima dalam kalangan asnaf fakir, manakala RM19.4 juta diagihkan kepada asnaf miskin (41,770) dan RM1.6 juta kepada asnaf mualaf (4,499).

“Setiap penerima mendapat bantuan zakat antara RM300 hingga RM1,000 bergantung kepada jumlah tanggungan sesebuah keluarga.

“Bantuan mula disalur sama ada melalui pembayaran yang dikreditkan ke akaun bank penerima atau menggunakan kaedah baucar tunai mahupun serahan tunai di cawangan LZS di seluruh negeri bagi kes tertentu,” katanya di Facebook.

LZS memaklumkan daerah Petaling mencatatkan jumlah agihan zakat tertinggi melibatkan RM5,593,750 kepada 11,799 orang asnaf diikuti Klang dengan jumlah agihan RM5.4 juta kepada 11,743 asnaf.

Sementara itu, daerah Hulu Langat sebanyak RM4.4 juta diperuntukkan untuk diagih kepada 9,415 asnaf, Kuala Selangor RM3.1 juta (6,979), Gombak RM3.1 juta (6,775) manakala Hulu Selangor RM2.4 juta (5,445).

Tiga daerah lain iaitu Sabak Bernam mencatatkan agihan zakat RM2.1 juta untuk 4,956 asnaf, Kuala Langat RM2.2 juta (4,708) dan Sepang RM1.3 juta kepada 2,999 asnaf fakir, miskin dan mualaf.

Selain itu, LZS turut menyalurkan peruntukan zakat sebanyak RM32.6 juta bagi membiayai persiapan persekolahan 67,798 anak asnaf fakir, miskin dan mualaf sesi persekolahan 2023 pada Februari lepas.

Penerima yang layak akan dimaklum melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) ke nombor telefon yang didaftarkan dengan Zakat Selangor dan semakan status boleh dilakukan secara dalam talian di pautan http://ezo.zakatselangor.com.my atau menghubungi Talian Zakat Selangor.

BACA JUGA Untung jadi rakyat Selangor, dari lahir hingga meninggal dijaga kerajaan negeri