Melaka perlu libatkan semua parti komponen Kerajaan Perpaduan – Rafee

Pakatan Harapan (PH) Melaka berharap semua parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan perlu terlibat dalam pentadbiran negeri.

Timbalan Majlis Pimpinan PKR negeri, Mohd Rafee Ibrahim berkata, usaha tersebut selaras dengan hasrat dan matlamat yang dilakukan di peringkat pusat.

“Kerajaan negeri harus melibatkan semua parti (komponen Kerajaan Perpaduan) yang ada terutama pelantikan jawatan Exco kerajaan negeri.

“Ia dapat memberi isyarat kepada seluruh rakyat bahawa gabungan ini benar-benar wujud atas dasar kerjasama yang utuh membawa agenda rakyat seperti yang telah dilaksanakan di peringkat kerajaan pusat,” ujarnya.

Ketua Cabang Hang Tuah Jaya yang lebih dikenali sebagai Cikgu Rafee itu berkata demikian ketika dihubungi Harapan Daily hari ini.

Mengulas lanjut, jelasnya, penglibatan parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan di Melaka selaras dengan semangat dan teras daripada kerajaan Madani itu sendiri.

“Ini memberi gambaran kepada rakyat bahawa Kerajaan Perpaduan bukan hanya retorik semata-mata tetapi bersifat inklusif,” katanya.

Menurutnya, usaha itu harus dibuat bagi memberi keyakinan kepada rakyat bahawa ia merupakan kerjasama yang utuh.

“Diharapkan, hasrat murni supaya pembentukan Kerajaan Perpaduan di Melaka ini boleh melonjakkan ekonomi negeri dan memberi contoh yang baik kepada negeri-negeri lain dalam melaksanakan agenda yang sama,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Naib Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong dilapor turut senada dengan rakan komponennya.

Beliau berkata, sudah tiba masanya untuk negeri-negeri lain juga bertindak selaras dengan penubuhan Kerajaan Perpaduan di peringkat pusat.

Pada 27 Mac lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi bayangan akan berlaku perubahan struktur pentadbiran kerajaan negeri menerusi pembentukan Kerajaan Perpaduan di Melaka.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) merangkap Ahli Parlimen Bagan Datuk itu turut mengesahkan kerajaan ketika ini menuju kepada usaha pembentukan tersebut.

 

BACA JUGA Kerajaan Perpaduan perlu diberi peluang pastikan kestabilan politik