Panjangkan operasi klinik kesihatan: KKM ambil kira isu ‘burnout’ petugas
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang dalam kajian untuk mengenal pasti penambahan beberapa buah klinik kesihatan yang akan dipanjangkan waktu pengoperasian selepas waktu pejabat.
Setakat ini, 52 klinik kesihatan seluruh negara sudah pun melaksanakan pemanjangan waktu operasi dari 5 petang hingga 9.30 malam.
Namun menurut Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni, pihaknya akan mengkaji kesesuaian pemanjangan waktu itu kerana perlu mengambil kira isu tekanan melampau (burnout)Â dalam kalangan petugas kesihatan.
“Berkenaan senarai klinik ketika ini, kita sedang dalam kajian untuk mengenalpasti beberapa lagi buah klinik yang akan diperkenalkan untuk ‘extended hours’.
“Walaupun demikian, itu akan mengikut kesesuaian kerana kita faham bahawa keperluan untuk pemanjangan waktu operasi (selari dengan keperluan) menambah bilangan kakitangan dan juga pembayaran elaun bagi membolehkan petugas kesihatan menjalankan tugas.
“Kita juga mengambil kira isu burnout dalam kalangan pekerja kesihatan. Untuk langkah lebih proaktif daripada pihak KKM, kita akan cuba mengusahakan meningkatkan kapasiti kakitangan,” katanya dalam Sesi Pertanyaan Jawab Lisan di Dewan Rakyat pagi ini.
Namun, kata Lukanisman, peningkatan kapasiti tersebut memerlukan perbincangan teliti dan kelulusan daripada pihak kerajaan, Kementerian Kewangan dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk meluluskan penjawatan bersesuaian.
Beliau menjawab soalan tambahan Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi (PN-Kuala Kedah) yang bertanya mengapa klinik kesihatan di Kedah tidak disenarai antara 52 klinik yang akan dipanjangkan waktu operasi.
Sementara itu menjawab soalan tambahan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) berkenaan kriteria diguna pakai KKM untuk menaiktaraf klinik kesihatan daif, Lukanisman berkata kementerian menggunakan tiga takrifan daif.
Takrifan daif yang digunakan KKM antaranya meneliti struktur yang diguna di sesebuah klinik sama ada struktur kayu, separa kayu atau konkrit usang.
Kedua ialah sistem kejuruteraan dan fungsi klinik dari sudut elektrikal dan mekanikal. Ketiga adalah risiko keselamatan contohnya kekukuhan lantai atau fasiliti di klinik-klinik.
BACA JUGA Perkhidmatan kesihatan semakin baik, rakyat pilih hospital kerajaan
Â