Penjawat awam Negeri Sembilan terima bantuan khas Aidilfitri RM1,000

Kerajaan Negeri Sembilan mengumumkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) bersempena Hari Raya Aidilfitri sebanyak RM1,000 kepada semua penjawat awam di bawah pentadbiran kerajaan negeri itu.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, bantuan tersebut melibatkan 3,796 penjawat awam dengan peruntukan sebanyak RM3.796 juta.

“Sempena menyambut Aidilfitri tidak lama lagi, kerajaan negeri telah bersetuju untuk memberi Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri berjumlah RM1,000 kepada semua penjawat awam di negeri ini.

“Ia melibatkan seramai 3,796 orang, tetapi tidak termasuk badan berkanun, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Mereka (3,796 kakitangan di bawah kerajaan negeri) akan dapat bantuan itu pada 14 April depan, iaitu sebelum hari raya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri, hari ini.

Sidang media tersebut turut disiarkan menerusi penstriman langsung dari Facebook rasmi Aminuddin.

Untuk rekod, sejak 2018 kerajaan negeri telah menyalurkan beberapa bentuk bantuan sebagai tanda menghargai golongan penjawat awam di negeri berkenaan.

Aminuddin yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri berkata, bantuan yang disalurkan itu adalah seperti BKK, pembinaan Rumah Penjawat Awam dan skim pinjaman pembelian kenderaan dan komputer tanpa faedah.

Bantuan Khas Kewangan (BKK) kepada penjawat awam adalah seperti berikut:

i. Belanjawan 2019 – sebulan gaji atau minimum RM2,000;

ii. Belanjawan 2020 – juga sebulan gaji atau minimum RM2,000;

iii. Belanjawan 2021 dan 2022 – setengah bulan gaji atau minimum RM1,000.

BACA JUGA 10 bukti pencapaian kerajaan PH Negeri Sembilan wajib rakyat tahu