Retorik ‘salah DAP’ bakal berkumandang

EKSKLUSIF Rakyat Malaysia sedang dan bakal disajikan dengan pelbagai kebobrokan pemain politik Perikatan Nasional (PN) yang kerap memomokkan rakyat dengan retorik ‘salah DAP’.

Justeru, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin mengingatkan PN supaya tidak memperbodohkan rakyat terutama golongan muda dengan membuat kenyataan seolah-olah semuanya salah parti itu.

Beliau menegaskan parti itu tidak pernah membenci, takut atau mempunyai apa-apa prejudis terhadap agama mahu pun orang Islam.

“Saya melihat PN sentiasa cuba menyuntik sentimen ‘salah DAP’ kepada rakyat Malaysia terutama selepas wujudnya undi 18 atau pengundi muda.

“Ini jelas membuktikan mereka (PN) tidak mempunyai apa-apa isu yang boleh dibangkitkan selain daripada isu sentimen kaum dan agama yang mewujudkan kebencian terhadap DAP,” katanya kepada Harapan Daily ketika di wawancara di Pusat Khidmat Rakyat Bandar Utama di Petaling Jaya, hari ini.

Menurutnya, sentimen seumpama ini sememangnya sengaja dirancang untuk mengalih tanggapan sebenar terhadap DAP.

Jamaliah yang juga Penolong Setiausaha DAP Selangor berkata, sentimen yang mendakwa DAP kononnya cauvinis, komunis atau menentang Islam dan Melayu adalah penipuan dan fitnah sama sekali.

“Fitnah itu merupakan taktik lama yang kotor dalam usaha untuk menyalahkan DAP dalam semua isu.

“Sedangkan DAP adalah parti yang berasaskan ideologi sosial demokrasi yang memberi keadilan kepada semua tanpa mengira kaum dan agama,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan PN untuk terus menggalas tugas dan tanggungjawab supaya menjadi pembangkang yang baik di negara ini.

“Sekiranya PN mempunyai pemimpin yang progresif, bijak, pandai dalam soal ekonomi atau polisi, mereka (PN) seharusnya meletakkan lebih banyak usaha untuk mendepani sesuatu isu yang diwawarkan oleh Kerajaan Perpaduan.

“Atau adakah itu bermaksud sebenarnya Kerajaan Perpaduan sedang melakukan kerja dengan bersungguh-sungguh sehingga mereka (PN) tidak boleh fokus menjadi semak dan imbang sehingga sanggup untuk menyerang sesebuah parti politik lain,” ujarnya.

DAP memegang 15 kerusi DUN dan bersama Pakatan Harapan di dalam blok kerajaan Selangor.

Sebanyak 56 kerusi DUN akan menjadi tandingan pakatan politik di negeri ini.

Selain Selangor, lima negeri lain akan turut menyaksikan pilihan raya negeri tahun ini.

Negeri-negeri tersebut ialah Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

BACA JUGA: Amirudin hargai peranan DAP antara parti tunjang PH, sedia hadapi PRN Selangor

 

Â