Yakinkan rakyat bawa pembaharuan seiring Malaysia Madani

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi perlu meyakinkan rakyat dengan membawa pembaharuan dalam pentadbirannya yang bertunjangkan konsep Malaysia Madani memandangkan dirinya terpalit dengan pelbagai kes mahkamah.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd Yahya Mat Sahri berkata, banyak pihak termasuk rakyat, pemimpin luar negara dan juga pembangkang sedang memberikan tumpuan kepada beliau pada ketika ini.

“Kalau tanya saya sendiri, adakah saya setuju orang didakwa, memang saya tidak setuju. Tetapi dalam keadaan sekarang, daripada sudut politik, kena terima itulah suasananya.

“Beliau (Zahid) kena tunjukkan bahawa dia mesti membawa satu pembaharuan sebagaimana citarasa yang dikehendaki oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ingin membangun Malaysia Madani,” jelasnya.

Yahya berkata demikian pada Wacana Sinar bertajuk ‘Ramadan: Gencatan Politik Atau Ambil Kesempatan?’ semalam.

Ahmad Zahid Hamidi pada Majlis Santunan Kasih Ramadan di Masjid Al-Ansar, Kem Sri Pantai, Seberang Takir malam tadi.

Tambah Yahya yang juga Pengarah Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH) Selangor, sebagai ahli politik, mereka perlu mendapatkan kepercayaan sepenuhnya daripada rakyat bagi memastikan dapat mentadbir negara dengan baik.

“Kita kena mendapat kepercayaan sepenuhnya daripada rakyat tidak kira kerajaan atau pembangkang sebab rakyat bergantung pada ahli politik. Rakyat tunggu mereka termasuklah perbahasan di dewan rakyat atau negeri.

“Ini (perbahasan) yang mereka lihat untuk mengetahui ia akan mendatangkan keuntungan kepada rakyat atau tidak,” ujarnya.

Pada masa yang sama, Timbalan Naib Canselor Universiti Selangor (Unisel), Profesor Madya Dr Hamdan Mohd Salleh berkata, semua pihak termasuk parti politik perlu bekerjasama dan memainkan peranan dalam mengutamakan aspek untuk merawat keadaan negara pada masa kini.

“Bila sebut tentang Maqasid Syariah dan sahsiah, hujungnya mereka perlu melihat kepada hak asasi rakyat serta tentang nasib mereka tetapi saya nampak perkembangan (proses) itu sedang berlaku.

“Proses itu cukup panjang dan proses merawat sedang berlaku. Tetapi masa masih belum memihak kerana dengan keadaan yang singkat dan berlaku pelbagai situasi politik sekarang ini,” kata Hamdan lagi.

BACA JUGA Berehat politik: “Pak Ya kenal Azmin, jangan temberang itu hanya gimik”