AUKUS akan guna senjata konvensional dalam kapal selam berkuasa nuklear

Malaysia telah diberi jaminan bahawa pakatan keselamatan trilateral Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat (AUKUS) hanya akan menggunakan senjata konvensional dalam kapal selam berkuasa nukear.

“Berkenaan kapal selam ini, AUKUS telah menjelaskan secara terperinci kepada MINDEF bahawa kapal selam mereka berkuasa nuklear tetapi persenjataannya masih secara konvensional.

“Ini diterangkan begitu jelas oleh ketiga-tiga buah negara. Bahkan tentera laut pihak Australia tak boleh ubah suai (persenjataan mereka kepada nuklear),” katanya.

“Selaras dengan komitmen Australia untuk tidak akan menggunakan senjata nuklear di perairan negara, Kementerian Pertahanan turut mendapat panggilan telefon daripada setiausaha pertahanan negara Amerika Syarikat pada 10 Mac lalu berkaitan hal tersebut,” kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan ketika menjawab soalan Lim Guan Eng (PH-Bagan) sewaktu sesi pertanyaan menteri.

“Sebagai anggota negara ASEAN, Malaysia memegang prinsip untuk mengekalkan ASEAN sebagai zon aman, bebas dan berkecuali,” kata beliau merujuk kepada zon yang diisytiharkan menerusi ASEAN

“Ini termasuklah dalam isu pelucutan senjata nuklear, pencegahan percambahan nuklear dan penggunaan teknologi nuklear secara aman.

“Bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan negara serta kestabilan di rantau ini kekal terpelihara, Malaysia menggesa semua pihak sama ada di dalam atau luar pakatan AUKUS ini untuk tidak melakukan sebarang aktiviti bersifat provokasi yang boleh mengganggu ketenteraman dan keselamatan di rantau ini.”

Lim membangkitkan persoalan berkaitan pendirian Malaysia ekoran dari pembelian lapan buah kapal selam perang nuklear AUD368 bilion oleh Australia dan kesannya kepada rantau Asean

Mohamad menjelaskan bahawa di bawah konvensyen undang-undang laut antarabangsa UNCLOS 1982 mana-mana kapal atau pesawat yang diberi kebebasan penerbangan atau pelayaran di laut lepas atau di zon ekonomi eksklusif di mana-mana negara mestilah mematuhi peraturan dan undang-undang negara persisir selagi tidak bertentangan dengan UNCLOS 1982.

Konvensyen undang-undang antarabangsa tersebut menggariskan bahawa kapal-kapal yang melalui wilayah lain mesti berada di permukaan air dan tidak boleh menyelam.

Kapal selam asing yang ingin berlayar di bawah permukaan air di dalam perairan air negara perlu memohon kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) terlebih dahulu melalui nota diplomatik bagi mendapatkan kelulusan khas.

Mohamad menambah bahawa isu berkaitan AUKUS akan dibincangkan dalam mesyuarat menteri-menteri pertahanan Asean yang akan berlangsung di Indonesia dalam bulan Julai.

BACA JUGA: Parlimen: Kebimbangan kapal selam nuklear beroperasi di ASEAN dibangkitkan