Bendung fahaman militan Daesh di media sosial, Fahmi jumpa Pengarah CID Ahad

Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) kini memberi perhatian terhadap usaha membendung penyebaran  fahaman ekstremis militan Daesh yang mula telah dikesan dalam media sosial.

Menterinya Fahmi Fadzil berkata langkag itu bagi memastikan penyebarannya tidak terus berleluasa mempengaruhi umat Islam dalam negara.

“Seperti dilaporkan media, Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara menyatakan ada bibit-bibit permulaan penggunaan media sosial untuk sebar ekstremis militan Daesh dan kita (KKD) nak pastikan ia dibendung segera, cantas awal,” katanya lapor Bernama.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama dalam sesi town hall bersama warga kerja KKD Kedah di Auditorium RTM Kedah semalam.

Turut serta Ketua Setiausaha kementerian Datuk Seri Mohammad Mentek dan Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Roslan Ariffin.

Fahmi berkata beliau akan mengadakan pertemuan dengan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (CID), Ahad ini bagi meneliti kes yang melibatkan kandungan berunsur 3R iaitu Race (Kaum), Religion (Agama) dan Royalty (Institusi Diraja) di media sosial.

“…kerisauan dalam kalangan Raja-Raja Melayu.. satu perkembangan dirasakan tidak sihat iaitu ekstremisme… dan kerisauan dalam kalangan sekumpulan ulama ialah menjurus kepada fahaman takfiri (iaitu) kafir mengkafir, itu yang merisaukan Raja-Raja Melayu, jadi menjadi tanggungjawab saya yang menjaga komunikasi dan digital untuk mencari jalan (penyelesaian),” katanya.

Fahmi bergambar bersama warga kerja KKD Kedah dalam sesi sesi Town Hall bersama mereka di Auditorium RTM Kedah pada 29 Mac 2023. Foto FB Radio Malaysia Kedahfm

Fahmi turut menyuarakan harapan agar warga kerja KKD tidak terlibat dalam isu politik dan perlu berkhidmat sebaiknya menunaikan tanggungjawab sebagai penjawat awam.

“Kita boleh berbeza pandangan, tetapi jangan keterlaluan,” katanya yang turut menyeru warga kerja KKD melaksanakan tugas sebagai penjawat awam dengan penuh berintegriti sekali gus bebas daripada amalan rasuah.

BACA JUGA: ‘Dah bulan puasa, hentikanlah adu domba’ – Fahmi