Bilangan kes anggota polis dengan tekanan mental adalah rendah

Bilangan kes anggota polis dengan tekanan mental adalah rendah kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Biarpun angkanya kecil dan rendah yang boleh dianggap terpencil berbanding dengan 130,000 kekuatan anggota di seluruh negara, kerajaan katanya tetap komited memastikan kesihatan mental warga polis ini dapat dijaga.

“Satu kajian dijalankan pada 2014-2018 yang bertajuk penerokaan bunuh diri dalam kalangan warga polis. Ada 7 kes bunuh diri pada tahun itu. Tahun ini sahaja, ada satu kes berprofil tinggi di Perlis di mana anggota polis bunuh isteri sendiri. Di Bayan Lepas pula anggota tembak diri sendiri.

“Semuanya itu dalam radar catatan polis. Oleh kerana itu, kita melihat kesemua aspek di mana seorang anggota yang nak diberikan kebenaran menggunakan senjata api dia tidak boleh sama sekali mempunyai tanda-tanda gangguan, tekanan dan sebagainya,” katanya ketika Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini soalan tambahan Wan Hassan Mohd Ramli (PN-Dungun).

Saifuddin menyatakan kementerian beliau sejak 2018 telah menetapkan agar pelantikan baru untuk menjadi anggota polis perlu lulus ujian psikologi menerusi ujian psikometrik.

“Pada 2022 satu kajian membabitkan responden hampir 26,000 anggota polis. Daripada semua ini kita kesan emosi positif, negatif dan dengan itu beri kita panduan sebelum kita memposisikan dia terhadap satu-satu tugas.

“Biarpun angka itu saya tegaskan kecil, rendah dan terpencil tapi pihak polis dan Kementerian Dalam Negeri tidak alpa kerana satu nyawa sekalipun berharga. Ikhtiar untuk memastikan insiden tak berulang adalah keutamaan kami,” katanya.

BACA JUGA: Polis nafi Ayob Khan main TikTok, akaun palsu guna nama beliau