DUN Bandar Utama edar baucar RM200 untuk rakyat B40 ‘shopping’ raya

Sempena menyambut Aidilfitri, Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Utama mengedarkan kira-kira 500 baucar membeli-belah bernilai RM200 melalui Program Jom Shopping Raya.

Wakil rakyatnya Jamaliah Jamaluddin berkata, program tersebut merupakan salah satu usaha kerajaan Selangor dalam mengembalikan hasil negeri kepafa rakyat.

“Baucar Jom Shopping Raya bernilai RM200 akan diagih kepada penerima yang layak dalam program khas pada minggu pertama April nanti.

“Permohonan bantuan ini dibuka sejak awal bulan lalu sehingga hujung bulan ini (Mac) kepada mereka yang berpendapatan seisi rumah RM3,000 ke bawah dan sehingga kini lebih 400 permohonan sudah diterima,” katanya kepada Harapan Daily semalam.

Jamaliah berkata program agihan baucar tersebut diberikan keutamaan kepada pemohon bukan penerima Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS), Skim Mesra Usia Emas (SMUE) dan Skim Mesra Insan Istimewa (SMIS).

Katanya warga Selangor sangat bertuah jika hendak dibandingkan dengan negeri lain kerana kerajaan negeri telah menyediakan pelbagai jenis bantuan terutama kepada golongan B40.

“Semua inisiatif kerajaan negeri Selangor sebenarnya telah banyak membantu golongan B40 untuk menanggung pembelian barangan keperluan seharian mereka.

“Bantuan seperti ini sebenarnya sangat penting untuk meringankan bebanan golongan B40 dalam menghadapi kehidupan seharian mereka.

“Sekiranya kita membandingkan dengan negeri lain, adalah sangat jarang untuk kita dengar mereka turut mempunyai bantuan seperti ini,” ujarnya.

Belanjawan Selangor 2023 memperuntuk RM16.48 juta bagi program pemberian baucar Jom Shopping sempena perayaan yang akan memanfaatkan 82,400 penerima.

Program bantuan yang dilaksanakan sempena tiga perayaan utama iaitu Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina dan Deepavali bertujuan meringankan beban keluarga kurang berkemampuan untuk membeli barangan keperluan di pasar raya terpilih.

Nilai baucar juga dinaikkan daripada RM100 kepada RM200 berikutan situasi ekonomi dan keperluan rakyat.

BACA JUGA: Sidang kemuncak perniagaan Selangor sasar jualan RM1.5 bilion – Exco