Kertas Pandora: SPRM siasat, dakwa berdasarkan bukti dan fakta

Siasatan dan pendakwaan yang dibuat oleh SPRM dalam isu Pandora Papers (Kertas Pandora) adalah berdasarkan bukti dan fakta bukan pendakwaan terpilih, kata Ketua Pesuruhjayanya Tan Sri Azam Baki.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab dakwaan ahli ekonomi politik Edmund Terence Gomez bahawa pemimpin dari blok kerajaan tidak dipanggil oleh SPRM, walaupun dinamakan dalam dokumen yang bocor itu.

“Bagi Kertas Pandora, SPRM memberi tumpuan kepada Orang Terdedah Politik yang mempunyai kuasa dan kedudukan semasa didakwa melakukan salah laku, dan disyaki telah menyalahgunakan kuasa mereka.

“SPRM bebas untuk menyiasat selagi ada sebab untuk mempercayai bahawa mereka mempunyai kedudukan dan kuasa serta disyaki berlaku penyelewengan dan salah guna kuasa. Tidak kira siapa.

“SPRM tidak mengamalkan pendakwaan terpilih kerana kami bebas menyiasat tanpa sebarang campur tangan atau pengaruh daripada pihak lain,” katanya dalam jawapan bertulis kepada Malaysiakini, lapor media itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam jawapannya di Parlimen memaklumkan, Azam Baki adalah Ketua Pengarah SPRM yang dilantik oleh pentadbiran Tan Sri Mahiaddin Md Yassin sebelum ini.

Beliau mengekalkan beliau bagi menunjukkan tidak ada campur tangan politik dalam penyiasatan dan pendakwaan yang dibuat oleh badan itu.

Azam menambah, suruhanjaya itu tidak dapat membuka penyiasatan mengikut kehendak mereka, kerana ia mesti berdasarkan fakta dan bukti mengikut prosedur operasi standard dan undang-undang yang diperuntukkan.

 

BACA JUGA Azam Baki lantikan Mahiaddin, bukti SPRM bebas