Konsep Malaysia Madani ‘bergema’ di China
Malaysia Madani yang diperkenalkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kini ‘menembusi’ ke negara China apabila beliau menyebut tentang konsep itu dalam Forum Boao Persidangan Tahunan Asia (BFA 2023).
Beliau berkata, konsep Malaysia Madani yang terdapat dalam Kerajaan Perpaduan adalah sebagai usaha untuk mewujudkan sebuah negara yang berpegang kepada unsur kemanusiaan selaras dengan nilai-nilai peradaban.
“Ia berteraskan enam rukun iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan juga ihsan. Nilai teras ini bukanlah perkara baharu, namun ianya dilihat paling sesuai untuk Malaysia berdasarkan sejarah negara, terutamanya beberapa tahun kebelakangan ini.
“Pertamanya, kita harus menumpukan kepada nilai yang yang menyatukan kita sebagai keluarga dan bukannya nilai yang memecah-belahkan kita.
“Ketika berurusan dengan rakan-rakan pula, nilai keikhlasan, integriti dan etika perlulah diutamakan. Keduanya, walaupun persaingan itu adalah sesuatu yang dilihat baik, tetapi adakalanya jalinan kerjasama itu adalah lebih baik.
“Ketiga, semasa kita bercakap tentang ketidaktentuan dalam hubungan antara negara, konflik geopolitik dan persaingan ekonomi, jangan kita lupakan rakyat biasa yang terbeban,” katanya ketika memberikan ucaptama di Persidangan Tahunan Forum BOAO untuk Asia 2023 di Hainan, China, hari ini.
Beliau menghadiri forum tersebut sebagai sebahagian daripada lawatan rasmi empat hari beliau ke China yang turut diiringi Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook dan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.
Anwar dalam rangka lawatan ke China sehingga 1 April ini, akan bertemu dengan Presiden China, Xi Jinping sebagai sebahagian daripada usaha untuk merancakkan semula hubungan diplomatik pasca pandemik.
Ketibaan Perdana Menteri, semalam disambut Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Naib Gabenor Hainan, Chen Huaiyu, Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Amran Mohamed Zin, Duta Besar Malaysia ke China, Raja Datuk Nushirwan Zainal Abidin dan konsulat jeneral Malaysia ke Guangzhou, Suraya Ahmad Pauzi.
Â