Orang ramai boleh dapatkan rumput padang Stadium Nasional percuma esok

Orang ramai boleh mendapatkan rumput padang Stadium Nasional, Bukit Jalil secara percuma pada pagi dan petang esok.

Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) memaklumkan perkara itu di akaun Twitter miliknya sempena dengan proses menggantikan rumput baharu padang stadium tersebut.

“Sempena dengan kerja-kerja penggantian rumput padang Stadium Nasional kelak, Perbadanan Stadium Malaysia ingin menawarkan rumput sedia ada secara percuma kepada orang awam pada 31 Mac 2023 (esok),” katanya.

Rumput berkenaan boleh diambil pada dua sesi iaitu bermula jam 10 pagi sehingga 12 tengah hari dan 3 hingga 5 petang.

Orang ramai diminta membawa bekas sendiri dengan setiap orang terhad boleh mengambil empat petak rumput padang berukuran 1×1 kaki.

Sebelum ini, projek penukaran rumput kepada jenis Zeon Zoysia di Stadium Nasional dilapor akan menelan belanja sebanyak RM2.3 juta.

Projek tersebut dijadual bermula bulan depan dan dijangka siap akhir September atau awal Oktober.