Polis nafi Ayob Khan main TikTok, akaun palsu guna nama beliau

Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberikan amaran tentang kewujudan akaun TikTok palsu yang menggunakan nama Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.

PDRM dalam kenyataan menafikan sebuah akaun dalam aplikasi TikTok dengan nama @datukayub8 merupakan milik pegawai kanan pasukan keselamatan itu.

Kenyataan itu berkata akaun berkenaan adalah palsu dengan menggunakan nama dan gambar Ayob Khan untuk menarik pengikut di aplikasi tersebut.

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak terpedaya dengan akaun itu dan sentiasa merujuk sumber yang sah bagi mendapatkan informasi yang tepat dan sahih,” menurut kenyataan itu semalam.

AYOB KHAN

Akaun tersebut yang mempunyai lebih 70,000 pengikut memuat naik pelbagai gambar dan video berkaitan Ayob Khan yang menyarung pakaian uniform.

Kelmarin PDRM mengumumkan Ayob Khan dilantik sebagai sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman yang baharu.

Pertukaran pegawai kanan PDRM berkenaan berkuat kuasa 16 April ini menggantikan Datuk Seri Abd Jalil Hassan yang akan bersara wajib dalam tempoh terdekat.

Ayob Khan, 57, yang merupakan anak jati Pendang, Kedah dilantik sebagai Pengarah JSJN pada 25 Disember 2021.

Sebelum itu, beliau menjadi Ketua Polis Johor selama selama 22 bulan mulai 6 Mac 2020.

Beliau juga pernah memegang jawatan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Pengganas, Cawangan Khas, Bukit Aman.

BACA JUGA: Ayob Khan jadi Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah yang baharu