“Selesaikan masalah rakyat, bukan ajak berdoa saja”

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakub diminta melaksanakan tugas hakiki beliau selaku menteri besar dan bukannya melaksanakan kerja yang boleh dilakukan oleh orang lain.

Bagi mereka, Ahmad Yakub mungkin berniat baik ketika menyebarkan pesanan agar mereka banyakkan berdoa ke seluruh negeri itu  sempena bulan Ramadhan ini.

Mereka mengharapkan Ahmad sebagai MB menyelesaikan masalah harian yang mereka hadapi sekarang ini yang boleh diselesaikan oleh orang yang mempunyai jawatan seperti Ahmad Yakub.

“Mudah tugas MB Kelantan ni . Dia tak soal masalah air . Dia tak peduli masalah peluang kerja rakyat. Dia tak hirau kenaikan kos sara hidup.

“Sebab semua tu urusan kerajaan pusat,” sindir Mohd Yusoff Solu, seorang aktivis sosial media dari Kelantan ketika mengulas poster yang dinaikkan oleh MB Kelantan.

Sempena bulan Ramadhan ini, Ahmad menaikkan banyak poster-poster yang antara lain menyenaraikan amalan-amalan sunnah Ramadan.

“Beriktikaf, berdoa, bersedekah, membaca Al Quran dan memberi juadah berbuka.”

Poster-poster itu digantung di sepanjang jalan di Kota Bharu dan bandar-bandar lain di Kelantan dengan memaparkan gambar beliau.

Bagi bekas Setiausaha Politik MB Kelantan, Annuar Bakri Harun, kerja-kerja menyuruh rakyat Kelantan semacam itu sepatutnya dibuat oleh tok-tok guru kampung sahaja kerana MB perlu membuat kerja yang tidak boleh dibuat oleh mereka.

“Eh, hok tu molek, tapi padan suruh tok-tok guru kampung jah.

“Kito hok diberi amanah duduk di “White House” ni – kito keno buat kkijo lain.

“Mesyuarat. Berfikir. Cari jalan atasi jalan belubang. Persiap lebuhraya tu, wi (supaya) mudah ore nok kelik Rrayo.

“Urus kutipan sampah wi bbaik. Wujudkan peluang pekerjaan wi bbanyok dan kurangi kemiskinan bandar dan luar bandar di kalangan rakyat.

“Air jangan wi (bagi) putus jangan wi kkarat. Tarik pelaburan masuk. Turunkan harga ayam, turunkan harga barang,” kata beliau ketika mengulas perkara ini.

Annuar adalah bekas Setiausaha Politik Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika beliau menjadi MB kelantan dahulu.

 

BACA JUGA Pemimpin PH BN yakin boleh rampas Kedah kembali

JUGA Kertas Pandora: SPRM siasat, dakwa berdasarkan bukti dan fakta