129 asnaf, anak yatim Negeri Sembilan terima sumbangan Ramadan

Seramai 129 golongan asnaf dan anak yatim yang merupakan kariah Masjid Dato’ Klana Petra Lela Mohd Yusof di Sikamat, menerima sumbangan sempena Ramadan tahun ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, sumbangan sempena program Jelajah Ramadan RTM Negeri Sembilan, itu merupakan salah satu usaha penganjur untuk berkongsi kegembiraan dalam bulan Ramadan yang cukup berkat ini.

“Semoga sumbangan disalurkan dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh penerima, InsyaAllah,” katanya dalam satu hantaran di Facebook rasmi beliau.

Selain itu, kerajaan negeri turut mengumumkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) bersempena Hari Raya Aidilfitri sebanyak RM1,000 kepada semua penjawat awam di negeri itu.

Aminuddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat berkata, bantuan tersebut melibatkan 3,796 penjawat awam dengan peruntukan sebanyak RM3.796 juta.

“Ia melibatkan seramai 3,796 orang, tetapi tidak termasuk badan berkanun, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Mereka (3,796 kakitangan di bawah kerajaan negeri) akan menerima bantuan itu pada 14 April depan, iaitu sebelum hari raya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri kelmarin.

BACA JUGA AMK yakin PH mampu pikat pengundi PRN Negeri Sembilan