15 buah masjid baharu dibina di Negeri Sembilan
Sebanyak 15 buah masjid baharu sedang dan akan dibina di Negeri Sembilan pada tahun ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pembinaan masjid tersebut adalah hasil daripada usaha meningkatkan syiar Islam selari dengan pemerkasaan agama yang dilakukan oleh Kerajaan Madani.
“Terdapat enam buah masjid yang dibina dengan peruntukan Kerajaan Negeri berjumlah RM41 juta.
“Pada masa sama, empat buah masjid lagi dibina menggunakan peruntukan Kerajaan Persekutuan yang berjumlah RM23.5 juta.
“Dengan wujudnya masjid ini dapat membolehkan umat Islam di Negeri Sembilan beribadah dengan lebih selesa.
“Besarlah harapan saya agar pembinaan ini dapat menyebarkan syiar Islam di samping mengukuhkan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah di negeri ini, Insya Allah,” kata Aminuddin.
10 buah masjid tersebut adalah Masjid Warisan Puteri, Masjid Forest Heights, Masjid Taman Senangin dan Masjid Bandar Seremban Selatan.
Turut dibina Masjid Nilai Impian, Masjid Seremban 3 dan Masjid Bukit Kepayang di Daerah Seremban; Masjid Kariah Seri Kendong (Rembau), Masjid Rahmania (Jempol) dan Masjid Kerangai (Jelebu).
Dalam masa sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut meluluskan peruntukan sebanyak RM31.8 juta bagi pembinaan lima buah lagi masjid baharu di Negeri Sembilan.
Aminuddin yang juga Ahli Parlimen Port Dickson dan ADUN Sikamat berkata, lima buah masjid tersebut adalah; Masjid Terapung Port Dickson, Masjid Kariah Talang Tengah dan Masjid Tunku Munawir Seri Menanti di Kuala Pilah, Masjid Ulu Beranang (Seremban) serta Masjid Bongek (Rembau).
“Dalam pertemuan pertama saya bersama Perdana Menteri, saya memohon peruntukan bagi pembinaan lima buah masjid di Negeri Sembilan.
“Beliau bersetuju meluluskan peruntukan berjumlah RM31.8 juta bagi pembinaan lima masjid tersebut.
“Mewakili Kerajaan Negeri Sembilan, saya mengucapkan terima kasih kepada YAB Perdana Menteri di atas keprihatinan beliau,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap pembinaan masjid-masjid tersebut membolehkan nur Islam terus bersinar di Negeri Sembilan.
Pada 24 Februari lalu, Perdana Menteri mengumumkan peruntukkan sebanyak RM1.5 bilion sebagai usaha untuk memartabatkan syiar Islam dalam pembentangan Belanjawan Malaysia Madani 2023.
Tegasnya, agihan peruntukan dalam Belanjawan 2023 adalah selaras dengan prinsip Madani yang mengutamakan kebajikan dan kesejahteraan rakyat Malaysia.
BACA JUGA Aminuddin sumbang RM125,000 kepada masjid dan surau dalam Parlimen Port Dickson
Â