Ab Rauf angkat sumpah Ketua Menteri Melaka ke-14

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh selamat mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka ke-14 petang ini sekali gus menamatkan desas-desus mengenai pertukaran teraju kepimpinan negeri sejak beberapa minggu lalu.

Majlis angkat sumpah itu berlangsung di hadapan Yang di-Pertua Negeri Tun Mohd Ali Rustam diĀ  Dewan Sri Utama, Pejabat Yang di-Pertua Negeri Melaka di Kompleks Seri Negeri, Air Keroh kira-kira pukul 3 petang ini.

Hadir sama dalam Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Ketua Menteri Melaka itu ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Zaidi Johari dan bekas Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Ab Rauf, 62, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjung Bidara dilantik menjadi Ketua Menteri yang baharu selepas Sulaiman yang juga ADUN Lendu meletak jawatan semalam.

.Terdahulu Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan parti itu sudah menghantar nama ADUN Tanjung Bidara, Rauf, sebagai Ketua Menteri Melaka baharu.

Ab Rauf sebelum ini merupakan Exco Kanan Pelaburan, Perindustrian Pembangunan Koperasi dan Usahawan.

BACA JUGA: Sokong Kerajaan Perpaduan demi kestabilan politik, kemakmuran negeri