Kekal di penjara, permohonan semakan Najib ditolak
Datuk Seri Najib Razak kekal di penjara apabila Mahkamah Persekutuan menolak permohonannya untuk mendapatkan kebenaran bagi menyemak keputusan berhubung hukuman menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd yang dikenakan terhadapnya.
Panel hakim membuat keputusan itu selepas mendapati permohonan kebenaran semakan tersebut adalah lebih menjurus kepada permohonan untuk menyemak merit keputusan panel dalam rayuan akhirnya pada 23 Ogos tahun lalu.
Ini bermakna ruang dan peluang untuk bekas Perdana Menteri berkenaan bebas daripada kesalahan membabitkan penyelewengan dana berjumlah RM42 juta itu sudah berakhir.
Keputusan pada pagi 9 Ramadan ini dibuat dengan majoriti empat hakim menyokong iaitu Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Rhodzariah Bujang, Datuk Abu Bakar Jais dan Hakim Datuk Nordin Hassan.
Sebaliknya, ketua panel tersebut, Hakim Besar Sabah Sarawak, Datuk Abdul Rahman Sebli menentang keputusan itu.
Pada 6 September tahun lalu, Najib memfailkan permohonan untuk mendapatkan semakan tersebut apabila tidak berpuas hati dengan keputusan panel lima Hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.
Najib pada 28 Julai 2020 didapati bersalah di atas tujuh pertuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana SRC.
Hakim Mahkamah Tinggi (kini hakim Mahkamah Rayuan) Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas Najib.
Keputusan itu dikekalkan Mahkamah Rayuan pada 8 Disember 2021 serta panel lima Hakim Mahkamah Persekutuan dipengerusikan Tengku Maimun, pada 23 Ogos tahun lalu.
BACA JUGA Pendapat | Kes Jana Wibawa pesta kezaliman? Ini jawapan untuk Haji Hadi
Â