Lelaki jalan kaki tuntut KWSP: Ini perancangan PN?
Tindakan seorang lelaki dari Johor yang berjalan kaki dari negeri itu ke Istana Negara di Kuala Lumpur bagi menuntut pengeluaran KWSP dipercayai ada kaitan dengan majlis yang dirancangkan oleh Perikatan Nasional (PN).
Ini kerana, serentak dengan sampainya pejalan kaki berkenaan adalah majlis penyerahan memorandum yang diuruskan oleh bekas Ketua Penerangan Perikatan Nasional, Wan Saiful Wan Jan.
Dalam satu surat yang dihantar oleh Wan Saiful selaku Ahli Parlimen Tasek Gelugor, kepada Setiausaha Sulit Kanan kepada Yang Dipertuan Agong, memorandum itu akan dihantar pada 29 atau 30 Mac 2023 semalam.
Surat bertarikh 22 Mac yang dilihat oleh Harapan Daily itu memohon untuk menyembahmaklum kepada Yang Dipertuan Agong berkaitan pengeluaran KWSP dan menjadikan dana KWSP sebagai cagaran bank.
Pejalan kaki dari Johor itu juga dijangka akan sampai ke Istana Negara sekitar 29 atau 30 Mac semalam namun dia sudah tidak kelihatan lagi di sekitar Lebuhraya Utara Selatan (Plus).
Menurut satu video Tiktoks yang tular, lelaki ini berjalan kaki dari Johor ke Istana Negara untuk menuntut pengeluaran wang KWSP.
“Demi anak-anak, rakyat ini berjalan kaki dari Johor ke Istana Negara KL untuk tuntut pengeluaran KWSP,” menjadi tajuk kepada video ini.
Malaysiakini melaporkan, lelaki itu adalah seorang bekas pemandu teksi Noorazlan Ismail, 49.
“Ini kerja gila, saya tahu. Tapi demi keluarga dan anak-anak saya terpaksa lakukan,” kata Nororazlan ketika dihubungi Malaysiakini, yang ketika itu sedang menuju ke Yong Peng, Batu Pahat.
Tuntutan agar kerajaan membenarkan pengeluaran KWSP sebagaimana yang dibenarkan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dahulu dibuat oleh Pengerusi PN, Tan Sri Mahiaddin Md Yassin.
Tuntutan itu dibuat di Dewan Rakyat ketika berucap membahaskan titah Yang Dipertuan Agong pada 15 Februari lepas.
Ekoran itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan sedang mencari jalan yang lebih sesuai bagi mengurangkan beban rakyat tanpa mengeluarkan simpanan KWSP.
Katanya, simpanan KWSP itu adalah perkara yang penting bagi mengelakkan rakyat ditimpa kesusahan apabila tiba masa bersara kelak.
“KWSP kita telah jelaskan… dulu kita minta dikeluarkan banyak. Jadi yang tinggal RM10,000 atau RM5,000, yang nak keluarkan itu kena fikir apa pilihan kita.
“Jadi kita sedang cari jalan macam mana nak kurangkan beban dia tanpa menimbulkan beban masa dia bersara nanti,” katanya.
BACA JUGA Kekal di penjara, permohonan semakan Najib ditolak